Program rintis PLKN 3.0 diperluas ke universiti awam seluruh negara

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, ketika menyempurnakan gimik Pelancaran Program Rintis PLKN 3.0 Universiti Awam di UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah / RTM

TANJONG MALIM, 16 Jun – Pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di universiti awam, transformasi besar dalam dasar pembangunan belia negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • UPSI dijadikan institusi perintis untuk menguji modul, kesesuaian dengan struktur akademik dan menilai keberkesanan sebelum diperluas.
  • Pelaksanaan PLKN 3.0 beralih kepada model berasaskan institusi pendidikan tinggi, bukan sekadar latihan di kem, lebih tersusun dan relevan.
  • Kerajaan MADANI komited membentuk generasi muda berjati diri, patriotik, berketahanan fizikal dan mental melalui modul ketenteraan, kepimpinan dan kenegaraan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pelaksanaannya mengangkat pendekatan lebih sistematik, berjangka panjang dan bersepadu dengan struktur pendidikan tinggi.

Menurut beliau, program rintis di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menjadi platform penting untuk menguji kesesuaian modul latihan, penyesuaian dengan struktur akademik sedia ada serta menilai keberkesanannya sebelum diperluaskan ke seluruh universiti awam mulai tahun hadapan

“Pelaksanaan PLKN 3.0 di universiti awam bukan sekadar kesinambungan latihan di kem, sebaliknya peralihan kepada model berasaskan institusi pendidikan tinggi yang lebih tersusun serta relevan dengan keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Program Rintis PLKN 3.0 Universiti Awam di UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini.

Menurut beliau, program yang bermula pada 9 Jun lalu dengan sokongan peruntukan kerajaan itu merupakan langkah strategik dalam usaha melahirkan generasi muda yang memiliki jati diri kukuh, semangat patriotisme tinggi serta kualiti kepimpinan unggul.

Katanya, Kerajaan MADANI komited untuk membentuk generasi muda yang bukan sahaja mempunyai ketahanan fizikal, malah kekuatan mental, kecerdasan emosi dan daya tahan tinggi dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.

“Peserta perlu terus mengekalkan semangat kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap masyarakat, memanfaatkan ilmu, teknologi dan kreativiti untuk membina masa depan yang lebih baik serta menjadi ejen perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang,” katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, bergambar bersama pelatih PLKN di UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah / RTM

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pemilihan UPSI sebagai institusi perintis merupakan satu penghormatan besar serta manifestasi kepercayaan kerajaan terhadap keupayaan universiti itu dalam menerajui agenda pembangunan modal insan negara.

“UPSI menerima amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan komited memastikan pelaksanaannya berjalan lancar serta berkesan. Keberkesanan program di bumi Muallim ini akan menjadi penanda aras penting sebelum diperluaskan ke 19 universiti awam lain bermula tahun 2027,” katanya.

Seramai 1,005 pelajar baharu diploma ambilan Jun 2026, terdiri daripada 567 pelatih lelaki dan 438 pelatih perempuan, dipilih menyertai program rintis berkenaan.

Pelatih akan mengikuti tiga modul utama iaitu Modul Ketenteraan (40 peratus), Modul Kepimpinan (30 peratus) dan Modul Kenegaraan (30 peratus) yang dilaksanakan secara bersepadu sepanjang minggu orientasi, semester pertama pengajian menerusi kursus Mata Pelajaran Umum (MPU) serta semasa cuti semester.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.