
PUTRAJAYA, 16 Jun – Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan peningkatan kadar enrolmen sejagat murid sekolah menengah melepasi 95 peratus menerusi pelaksanaan pendidikan wajib sehingga tamat Tingkatan Lima bagi tahun-tahun akan datang.
- KPM menyasarkan kadar enrolmen sekolah menengah melepasi 95 peratus melalui pendidikan wajib sehingga Tingkatan Lima.
- Pindaan Akta Pendidikan yang mewajibkan pendidikan menengah hingga Tingkatan Lima telah diluluskan dan kini di peringkat akhir pelaksanaan.
- Pelaksanaan akan diperkukuh melalui program advokasi bersama sekolah, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta untuk tingkatkan kesedaran tamat persekolahan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kadar enrolmen murid sekolah menengah ketika ini berada pada 94 peratus dengan KPM optimis sasaran itu dapat dicapai menerusi pelaksanaan dasar baharu serta pelbagai program kesedaran melibatkan sekolah, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta.
Menurut beliau, pindaan Akta Pendidikan yang mewajibkan pendidikan sehingga Tingkatan Lima telah diluluskan di Parlimen tahun lalu dan kini berada pada peringkat akhir sebelum dilaksanakan.
Katanya, pendekatan itu bukan bertujuan untuk menghukum ibu bapa atau pelajar, sebaliknya meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan setiap murid menamatkan persekolahan sehingga Tingkatan Lima dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Sekiranya kita melihat kepada pelaksanaan pendidikan wajib di peringkat sekolah rendah, dasar itu mula diperkenalkan pada tahun 2003, kira-kira 23 tahun lalu. Ketika itu, kadar enrolmen murid sekolah rendah berada pada sekitar 92 peratus. Hari ini, kadar tersebut telah meningkat kepada lebih 99 peratus.
“Bagi sekolah menengah pula, kadar enrolmen pada tahun lalu adalah 94 peratus. Justeru, Kementerian Pendidikan menyasarkan peningkatan kadar itu kepada melebihi 95 peratus menerusi pelaksanaan pendidikan wajib sehingga Tingkatan Lima.
“Usaha tersebut bukan sahaja melibatkan aspek pelaksanaan dan perundangan, malah akan diperkukuh melalui pelbagai program advokasi serta kesedaran kepada ibu bapa, pelajar dan masyarakat mengenai kepentingan menamatkan persekolahan sehingga Tingkatan Lima,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 Kementerian Pendidikan di Putrajaya.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Wan Hashim Wan Rahim dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.
Dalam majlis itu, seramai 467 individu menerima anugerah APC selepas menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan masing-masing di KPM sepanjang tahun lepas.
Pada 30 Julai 2025, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (Pindaan) Pendidikan 2025 yang meminda Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bagi memperluaskan dasar pendidikan wajib daripada peringkat rendah kepada pendidikan menengah sehingga Tingkatan Lima.
Pindaan itu antara lain memasukkan peruntukan baharu yang memberi kuasa untuk melaksanakan pendidikan menengah wajib serta mewajibkan ibu bapa memastikan anak mengikuti persekolahan sehingga tamat pendidikan menengah.