Bazar Deepavali dipusatkan di Brickfields

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh ketika sidang media Bazar Deepavali 2026 / Foto Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memusatkan Bazar Deepavali 2026 di satu lokasi khas di Brickfields dengan 131 petak perniagaan disediakan bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta keselesaan peniaga dan pengunjung.

RINGKASAN BERITA AI
  • 20 petak tambahan disediakan di kawasan Masjid India dan Jalan Bunus.
  • DBKL memperuntuk lebih RM1.5 juta, operasi dilanjutkan kepada 30 hari; kadar sewa dikekalkan RM400.
  • DBKL bekerjasama dengan persatuan penjaja, KL Tourism Association dan bas HOHO; awam diminta bersabar terhadap kemungkinan kesesakan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, 20 petak tambahan turut disediakan di kawasan Masjid India dan Jalan Bunus.

Menurutnya, lokasi baharu itu dipilih bagi memastikan jumlah peniaga mencukupi untuk mewujudkan suasana perayaan, selain tidak mengganggu aliran trafik.

“Kita cuba kenal pasti beberapa lokasi di sepanjang Brickfields dan kita dapati kesukaran untuk mendapatkan jumlah peniaga yang banyak. Sebab kalau kita nak buat suasana perayaan, mesti jumlah yang banyaklah.

“Buat sementara ini kita dapati kawasan ini sesuai kerana ada pilihan laluan kenderaan di belakang dan tidak menghalang kenderaan lain. Kalau kita duduk di atas jalan itu, Jalan Brickfields agak sibuk dan ini lokasi terbaik yang kita boleh pilih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Bazar Deepavali 2026 di sini, hari ini.

DBKL turut memperuntukkan lebih RM1.5 juta bagi penganjuran tahun ini, manakala tempoh operasi dilanjutkan kepada sebulan berbanding 21 hari sebelum ini.

Kadar sewa pula dikekalkan pada RM400 bagi setiap petak.

Dalam pada itu, DBKL bekerjasama dengan empat persatuan penjaja dan kebajikan bagi menguruskan pengagihan petak perniagaan, selain bekerjasama dengan Kuala Lumpur Tourism Association dan perkhidmatan bas pelancong Hop-On Hop-Off (HOHO).

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, meminta orang ramai bersabar dengan kemungkinan berlaku kesesakan di kawasan bazar.

“Kalau nak kata sambutan perayaan ini tak ada trafik, itu juga bermaksud bazar ini gagallah. Kalau tak ada trafik, tak ada orang datang. Jadi kita nak tengok kali pertama untuk buat secara teratur, ada satu tempat,” katanya.

Bazar Deepavali 2026 akan beroperasi selama 30 hari mulai esok hingga 7 November, dari 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.