Dewan Rakyat lulus RUU Makanan (PINDAAN) 2026, penalti kesalahan dinaikkan

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad/ RTM

KUALA LUMPUR, 8 Oktober- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Makanan (Pindaan) 2026 bagi memperkukuh kawalan keselamatan dan kualiti makanan serta meningkatkan perlindungan pengguna.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pindaan menyeluruh pertama Akta Makanan 1983 bagi memperkukuh kawalan keselamatan dan kualiti makanan.
  • Kadar penalti dan hukuman penjara dinaikkan; denda sehingga RM25,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
  • Pindaan kawal selia BBM, pemantauan jualan makanan dalam talian dan kawalan tahap racun perosak dalam hasil pertanian.
  • Penguatkuasaan berasaskan risiko; keutamaan pendidikan dan nasihat untuk kesalahan kecil, pendakwaan bagi kesalahan serius dan pesalah berulang.

Pindaan terhadap Akta Makanan 1983 [Akta 281] itu merupakan pindaan menyeluruh pertama sejak akta berkenaan diperkenalkan.

Antara perkara utama dalam pindaan itu ialah peningkatan kadar penalti, kawalan terhadap sampel bahan bersentuhan makanan (BBM), pemantauan penjualan makanan secara dalam talian serta kawalan tahap racun perosak dalam hasil pertanian.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peningkatan kadar penalti bukan bertujuan membebankan pengusaha makanan atau peniaga kecil, sebaliknya sebagai langkah pencegahan bagi memastikan pematuhan terhadap aspek keselamatan makanan.

Beliau berkata hukuman sedia ada tidak pernah dipinda sejak 43 tahun lalu dan tidak lagi setimpal dengan kesalahan dilakukan, selain nilai denda tidak dinyatakan secara khusus dalam peruntukan berkenaan.

“Cadangan menaikkan kadar penalti dipertimbangkan selaras dengan peredaran masa, selain berperanan sebagai langkah pencegahan bagi memastikan pematuhan terhadap aspek keselamatan makanan,” katanya semasa menggulung perbahasan RUU berkenaan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata kadar penalti yang dinaikkan turut mengambil kira tahap keseriusan sesuatu kesalahan supaya sepadan dengan bentuk pelanggaran dilakukan.

Katanya, langkah itu juga bertujuan memastikan pengusaha serta peniaga lebih bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan makanan.

Menerusi RUU berkenaan, kadar denda dan tempoh maksimum hukuman penjara turut ditingkatkan, termasuk denda sehingga RM25,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan terhadap mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta 281.

Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengamalkan pendekatan penguatkuasaan berasaskan risiko dengan memberi keutamaan kepada pendidikan dan nasihat bagi kesalahan teknikal yang kecil.

Bagaimanapun, beliau berkata tindakan pendakwaan akan diambil terhadap kesalahan serius di bawah Seksyen 11 serta pesalah tegar yang melakukan kesalahan berulang tanpa melalui proses kompaun.

Dewan Rakyat meluluskan RUU berkenaan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 35 Ahli Parlimen.

Persidangan ditangguhkan hingga 3.30 petang esok untuk pembentangan Belanjawan 2027.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.