RTM terus diperkasa untuk mendidik rakyat

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail

KUALA LUMPUR, 16 JUN – Badan penyiaran negara akan terus diperkasa sebagai medium pendidikan rakyat, khususnya dalam meningkatkan pemahaman mengenai sejarah negara dalam kalangan generasi muda, selain menjadi pemangkin kepada pembangunan masa depan berteraskan teknologi dan keusahawanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sesi menghadap Sultan Kedah membincangkan hala tuju penyiaran negara dan peranan strategik RTM.
  • RTM digunakan sebagai platform pendidikan untuk memperkukuh pemahaman sejarah dalam kalangan generasi muda.
  • Pemanfaatan teknologi dan mengangkat agenda keusahawanan disasarkan untuk mempersiapkan rakyat menghadapi cabaran masa depan.
  • RTM menyusun tunjang kempen nasional bersama pihak berkepentingan selaras titah Tuanku sebagai asas pelaksanaan program.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail selepas selesai sesi menghadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah pagi tadi.

Sesi menghadap itu memberi tumpuan kepada beberapa agenda utama berkaitan hala tuju penyiaran negara serta peranan strategik Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dalam mendepani cabaran masa hadapan.

Menurut Ashwad, antara perkara utama lain yang dibincangkan ialah bagaimana badan penyiaran dapat dimanfaatkan sebagai platform mendidik masyarakat.

“Perbincangan tertumpu kepada bagaimana peranan penyiaran negara, khususnya dari sudut pendidikan dan pemahaman sejarah, dapat diperkukuhkan dalam kalangan generasi muda.

“Pada masa sama, kita turut melihat bagaimana RTM boleh memainkan peranan lebih besar dalam membantu masyarakat memahami cabaran masa depan melalui penggunaan keupayaan teknologi serta mengangkat agenda keusahawanan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya anak-anak muda di negeri Kedah dan seluruh negara,” katanya.

Jelas beliau, usaha membina daya tahan ekonomi rakyat melalui pemerkasaan usahawan muda mampu menjadi antara pendekatan penting dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran negara dapat dikekalkan, memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah status negara menua dalam tempoh sedekad akan datang.

Mengulas mengenai perancangan RTM, Ashwad berkata RTM dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan sedang menyusun beberapa tunjang utama sejak tiga bulan lalu sebagai asas kepada pelaksanaan kempen dan program berskala nasional.

“Sejak tiga bulan lalu, RTM telah melihat daripada aspek tunjang-tunjang tertentu untuk dijadikan sebagai kempen yang akan kita laksanakan. Apa yang disusun ini seiring dan sejalan dengan apa yang dititahkan oleh Tuanku dalam sesi menghadap hari ini,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyentuh mengenai kemeriahan sambutan Piala Dunia FIFA 2026 yang dinikmati peminat bola sepak tempatan.

Katanya, sukan bola sepak mempunyai keupayaan besar sebagai instrumen penyatuan rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Kita melihat bola sepak sebagai instrumen penyatuan untuk kita saling mengenali antara satu sama lain dan diharap dapat terus memarakkan semangat kesukanan dalam kalangan rakyat, khususnya golongan muda.

“Namun, kita perlu melihat lebih jauh ke hadapan. Bukan sekadar menjadi penonton Piala Dunia, tetapi kita mahu satu hari nanti pasukan negara berada di pentas itu dan muncul sebagai juara dunia,” katanya.

Ashwad menegaskan, RTM akan terus memainkan peranannya sebagai penyiar awam yang bukan sahaja menyampaikan maklumat, malah membentuk pemikiran, menyemai semangat perpaduan serta memupuk aspirasi rakyat ke arah pembinaan Malaysia yang lebih progresif, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.