
SEREMBAN, 16 Jun – Konsep sekolah selamat perlu dilihat secara lebih menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada isu jenayah semata-mata.
- Sekolah mesti bebas gangguan emosi, tekanan mental, buli siber dan pengaruh ekstremisme.
- Program Citra MDN: Sekolah Selamat melibatkan 4,006 pelajar dari empat institusi tingkatan enam Seremban.
- Memperkenalkan Pegawai Perhubungan Sekolah dari PDRM, AADK dan Jabatan Penjara untuk pencegahan dan kesedaran keselamatan.
- Sekolah perlu bebas kebencian berasaskan kaum dan agama yang mengancam keharmonian serta keselamatan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sekolah juga perlu menjadi persekitaran yang bebas daripada gangguan emosi dan mental, buli siber serta pengaruh fahaman ekstremisme.
Beliau berkata perkara itu menjadi fokus utama Program Citra MDN: Sekolah Selamat yang melibatkan 4,006 pelajar daripada empat institusi pendidikan tingkatan enam di daerah Seremban.
Menurutnya, program berkenaan turut memperkenalkan Pegawai Perhubungan Sekolah daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Penjara Malaysia bagi memperkukuh usaha pencegahan serta meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan pelajar.
“Sekolah mesti menjadi tempat yang selamat daripada gangguan emosi dan mental serta ancaman buli siber.
“Kita pernah menyaksikan satu kes melibatkan seorang remaja perempuan di Wangsa Maju yang bertindak menamatkan riwayat hidup akibat tekanan melampau selepas menjadi mangsa buli siber.
“Dia tidak pernah bersemuka dengan pembulinya, namun tekanan psikologi yang dihadapi terlalu berat untuk ditanggung,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Citra Negara Menteri Dalam Negeri: Sekolah Selamat di sini, hari ini.
Program berkenaan dilihat sebagai medium awal untuk memupuk kesedaran keselamatan dalam kalangan pelajar sebelum mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Datuk Seri Saifuddin Nasution turut menegaskan bahawa sekolah juga perlu bebas daripada unsur kebencian berasaskan kaum dan agama yang berpotensi mengancam keharmonian masyarakat dan keselamatan negara.