Malaysia sasar bangunkan 20 IP animasi baharu bertaraf dunia

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Malaysia menyasarkan pembangunan 20 harta intelek (IP) baharu dalam sektor animasi bagi memperluas pasaran karya tempatan ke peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia antara hab animasi terbesar Asia Tenggara dengan lebih 5,000 animator tempatan.
  • Syarikat animasi Malaysia ke Annecy membawa pulang pelaburan lebih RM250 juta.
  • Peralihan daripada khidmat produksi kepada pembangunan IP sendiri diperlukan untuk bersaing di peringkat global.
  • Platform OTT dan sokongan insentif serta pembiayaan penting untuk menembusi pasaran antarabangsa dan mengukuhkan ekosistem.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Malaysia mempunyai lebih 5,000 animator dan merupakan antara hab animasi terbesar di rantau Asia Tenggara.

“Kita ada lebih 5,000 animator dalam negara kita sahaja dan baru-baru ini syarikat-syarikat animasi Malaysia pergi ke Annecy Film Festival di Perancis, mereka membawa balik pelaburan lebih RM250 juta,” katanya ketika ditemu bual dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Belanjawan 2027: Memperkasa Komunikasi, Memacu Ekonomi Jingga’.

Menurut beliau, sektor animasi mempunyai potensi besar untuk terus dikembangkan sebagai pemacu industri kreatif negara, sebagaimana kejayaan karya tempatan seperti Upin & Ipin yang mendapat sambutan di Indonesia.

Sehubungan itu, Malaysia perlu beralih daripada sekadar menyediakan khidmat produksi animasi untuk pihak lain kepada pembangunan dan penghasilan harta intelek sendiri yang mampu bersaing di peringkat global.

Kemunculan platform penstriman dalam talian atau over-the-top (OTT) turut membuka peluang lebih luas untuk karya animasi tempatan menembusi pasaran antarabangsa, seiring perubahan tabiat penonton yang kini menggunakan pelbagai peranti digital.

“Sudah tiba masanya kita bawa animasi Malaysia ke peringkat dunia. Kita nampak salah satu cara ialah melalui OTT, platform-platform siaran dalam talian,” katanya.

Datuk Seri Fahmi berkata, sokongan menerusi insentif dan pembiayaan penting bagi memperkukuh ekosistem industri kreatif tempatan, sekali gus merancakkan penghasilan IP animasi baharu dan meningkatkan daya saing Malaysia di pasaran antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.