
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mencadangkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) beragen bagi membantu rakyat mendapatkan maklumat berkaitan inisiatif Belanjawan 2027 secara lebih bersasar.
- AI mengenal pasti persoalan rakyat dari media sosial dan carian Google untuk menyampaikan maklumat permohonan dan kelayakan secara lebih tepat.
- AI berinteraksi automatik memberi panduan mengenai MITRA, dana usahawan dan bantuan awal persekolahan.
- Kerajaan merancang awan AI berdaulat dan kabel dasar laut MADANI Salam bagi memperkukuh keselamatan data, kedaulatan digital dan pengurusan maklumat terperingkat.
Cadangan itu diutarakan ketika beliau ditemu bual dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Belanjawan 2027: Memperkasa Komunikasi, Memacu Ekonomi Jingga’, susulan perbincangan mengenai cabaran memastikan maklumat bantuan kerajaan sampai kepada golongan yang layak.
Menurut beliau, teknologi berkenaan berpotensi mengenal pasti persoalan yang sering dibangkitkan rakyat menerusi media sosial dan carian Google, sekali gus membolehkan maklumat berkaitan permohonan serta kelayakan bantuan disampaikan secara lebih tepat.
“Alangkah baiknya jika Kementerian Kewangan mempunyai AI beragen yang boleh mengenal pasti persoalan rakyat secara automatik dan berinteraksi dengan mereka.
“Sebagai contoh, jika seseorang bertanya tentang MITRA, AI itu boleh memberikan maklumat lanjut mengenai cara mendapatkan bantuan dan membuat permohonan,” katanya.
Datuk Seri Fahmi berkata, pendekatan itu boleh diperluas bagi membantu rakyat mendapatkan panduan mengenai pelbagai inisiatif kerajaan, termasuk dana untuk usahawan dan bantuan awal persekolahan, meskipun persoalan dikemukakan menerusi platform yang berbeza.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut merancang membangunkan awan AI berdaulat (Sovereign AI Cloud) bagi memperkukuh keselamatan penyimpanan maklumat, khususnya data terperingkat kerajaan.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur itu penting bagi memastikan penyimpanan maklumat lebih terjamin dan tidak terjejas oleh dasar perundangan negara luar yang mungkin terpakai kepada perkhidmatan awan awam.
“Kerajaan telah memutuskan untuk membangunkan Sovereign AI Cloud atau awan AI berdaulat bagi memastikan maklumat dapat disimpan dengan lebih selamat dan teratur, tanpa terjejas oleh dasar negara luar,” katanya.
Pembangunan kabel dasar laut MADANI Salam dan Sovereign AI Cloud akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Kementerian Komunikasi.
Kedua-dua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh infrastruktur dan kedaulatan digital negara, selain meningkatkan keupayaan kerajaan memanfaatkan teknologi bagi menambah baik penyampaian maklumat serta perkhidmatan kepada rakyat.