
KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Harga runcit bagi RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing menurun sebanyak 5 sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi turun 10 sen seliter bagi tempoh 15 hingga 21 Oktober ini.
- Harga runcit tanpa subsidi: RON97 RM5.10, RON95 RM4.62, diesel RM5.17 seliter.
- Harga bersubsidi dikekalkan: BUDI95 RM1.99, BUDI Diesel RM2.10; SKPS RM2.05, SKDS RM2.15.
- Penyesuaian APM disokong pemulihan bekalan produk petroleum akibat China membenarkan eksport dan bekalan dari Korea Selatan.
- Kerajaan jangka ketidaktentuan berterusan, belanja subsidi dijangka RM40 bilion dalam Belanjawan 2027 untuk lindungi rakyat dan perniagaan.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penyesuaian harga berasaskan formula Mekanisme Harga Purata (APM) itu menyaksikan harga RON97 turun kepada RM5.10 seliter berbanding RM5.15 seliter sebelumnya.
Bagi RON95 tanpa subsidi pula, harga baharu ditetapkan pada RM4.62 seliter, berbanding RM4.67 seliter.
Manakala harga runcit diesel tanpa subsidi kini berharga RM5.17 seliter berbanding RM5.27 seliter.
“Walaupun pasaran dunia mengalami perubahan, Kerajaan MADANI menegaskan harga minyak bersubsidi untuk rakyat yang layak menerusi program BUDI MADANI kekal tidak berubah.
“BUDI95 (RON95) dikekalkan pada RM1.99 seliter dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.63 seliter atau 57 peratus daripada harga pasaran.
“Manakala BUDI Diesel juga kekal pada RM2.10 seliter dengan subsidi ditanggung sebanyak RM3.07 seliter atau 59 peratus,” katanya.
Selain itu, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal pada RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) juga tidak berubah pada RM2.15 seliter.
MOF menjelaskan, walaupun harga minyak mentah Brent kekal berada pada paras melebihi AS$100 setong, penyesuaian harga tempatan disokong oleh tanda pemulihan bekalan produk petroleum bertapis di pasaran serantau.
Jelasnya, langkah China membenarkan semula eksport bahan api bagi Oktober serta bekalan berterusan dari Korea Selatan membantu meredakan tekanan pasaran.
“Bagaimanapun, ketidaktentuan harga dijangka berterusan berikutan konflik yang kian meluas di Asia Barat, termasuk insiden serangan di Arab Saudi baru-baru ini yang meningkatkan risiko gangguan bekalan.
“Bagi melindungi rakyat dan perniagaan daripada impak ketidaktentuan ini, Kerajaan MADANI dijangka membelanjakan RM40 bilion bagi subsidi bahan api pada tahun hadapan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027,” kata kenyataan itu lagi.
Menurut kenyataan sama, kerajaan turut menyeru rakyat Malaysia supaya terus berhemat dan merancang perjalanan dengan cekap bagi mengurangkan pembaziran bahan api dan tekanan ke atas perbelanjaan subsidi negara.