Azrin Khairi dizahirkan sebagai Undang Luak Jelebu Ke-17

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima menghadap Undang Luak Jelebu Datuk Azrin Khairi pada Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu ke-17 di Istana Besar Seri Menanti hari ini / Foto BERNAMA

SERI MENANTI, 14 Oktober – Bekas Pengurus Besar Kanan Telekom Malaysia Pahang, Datuk Azrin Khairi, 51, hari ini dizahirkan sebagai Undang Luak Jelebu Ke-17 oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada istiadat di Istana Besar Seri Menanti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tuanku Muhriz menekankan kewibawaan Raja mesti dipelihara melalui integriti, keadilan, tanggungjawab dan pengukuhan Adat Perpatih yang relevan.
  • Istiadat tradisi melibatkan Orang Empat Istana, junjung duli, lafaz sembah taat setia dan disaksikan Setiausaha Kerajaan serta ketua jabatan negeri.
  • Rombongan mengarak barangan adat seperti tepak sirih, bukhor, wajik, panchor bunga telur dan penganan; Undang sebelum ini diumumkan terlucut sejak 31 Mei 2023.

Baginda berkenan menerima penzahiran kejadian Datuk Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu Ke-17 dengan gelaran Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman.

Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu Ke-17 itu dimulakan dengan Orang Empat Istana menghadap Tuanku Muhriz bagi mendapatkan perkenan baginda untuk memulakan istiadat, sebelum Undang Luak Jelebu menjunjung duli dan melafazkan sembah taat setia.

Istiadat penuh tradisi itu turut disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri.

Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, bersama dua anakanda baginda, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-‘Abidin.

Dalam titahnya, Tuanku Muhriz menegaskan kewibawaan institusi Raja hendaklah dipelihara berlandaskan integriti, keadilan dan tanggungjawab.

Baginda turut menekankan kepentingan memperkukuh sistem Adat Perpatih supaya terus relevan dengan perkembangan zaman tanpa mengabaikan prinsip dan aturan yang menjadi asasnya.

“Kewibawaan institusi Raja bergantung pada penghormatan terhadap adat, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Kedudukan Raja yang tinggi dan mulia datang bersama amanah dan tanggungjawab yang besar.

“Kepercayaan rakyat pula merupakan asas penting bagi memastikan institusi ini terus dihormati dan dipelihara,” titah baginda.

Terdahulu, Datuk Azrin dan isterinya, Datin Norazizan Mamat, diarak ke Istana Besar Seri Menanti dengan diiringi kira-kira 100 anggota rombongan yang membawa barangan adat istiadat, termasuk tepak sirih, bukhor, empat wajik, dua buah panchor bunga telur dan empat penganan.

Datuk Azrin sebelum ini dimasyhurkan sebagai Undang Luak Jelebu Ke-17 bagi menggantikan Datuk Maarof Mat Rashad, yang diumumkan terlucut daripada jawatan mengikut adat dan tradisi Luak Jelebu berkuat kuasa 31 Mei 2023.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan merupakan anak sulung daripada lima beradik daripada Suku Biduanda Waris Berundang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.