Lebih 10 kapal diserang di Selat Hormuz sejak Ahad

Foto AFP

LONDON, 15 Oktober – Sekurang-kurangnya 10 kapal diserang di dalam atau berhampiran Selat Hormuz sejak Ahad lalu, jumlah tertinggi sejak perang antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran tercetus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Firma keselamatan dan agensi maritim lapor empat kapal diserang pada Selasa, enam lagi menjadi sasaran pada Ahad.
  • Dua pelaut dilaporkan hilang dan sebuah kapal kontena dipercayai karam akibat serangan terbaharu.
  • 23 serangan direkodkan sejak awal Oktober, hampir dua kali ganda purata bulanan insiden sejak perang bermula.
  • Penganalisis: serangan dimaksudkan tunjuk Tehran masih mampu ganggu pemulihan aliran minyak dan tingkatkan kos pasaran tenaga.

Data firma keselamatan Vanguard, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dan agensi maritim Britain, UKMTO menunjukkan, sebanyak empat kapal diserang pada Selasa, manakala enam lagi menjadi sasaran pada Ahad.

Jumlah serangan pada Ahad itu merupakan yang tertinggi dalam tempoh sehari sejak konflik bermula.

Menurut sumber maritim, dua pelaut dilaporkan hilang, manakala sebuah kapal kontena dipercayai karam akibat serangan terbaharu itu.

Kapal dagang yang melalui laluan strategik berkenaan mula menjadi sasaran pada Mac, sekali gus menjejaskan pergerakan perkapalan melalui Selat Hormuz, yang lazimnya menjadi antara laluan utama pengeksportan minyak dan komoditi lain dari negara-negara Teluk.

Sebanyak 23 serangan direkodkan sejak awal Oktober, hampir dua kali ganda berbanding purata bulanan insiden sejak perang bermula.

Sabtu lalu, AS memaklumkan pihaknya menyerang sebuah kapal kargo sebagai sebahagian daripada sekatan terhadap pelabuhan Iran.

Bagaimanapun, insiden itu tidak disenaraikan dalam rekod IMO.

Penganalisis Vanguard, Barun Gupta berkata, peningkatan terbaharu serangan mungkin berkaitan dengan pemulihan eksport tenaga yang hampir kembali ke paras sebelum perang pada awal Oktober, sebelum kembali merosot.

“Aliran minyak dari negara-negara Teluk sedang pulih, dengan trafik melalui Selat Hormuz baru-baru ini kembali kepada kira-kira 80 peratus daripada paras sebelum perang meskipun konflik masih berterusan.

“Oleh itu, peningkatan serangan memberi Tehran peluang untuk menunjukkan bahawa negara itu masih mampu mengganggu pemulihan berkenaan serta meningkatkan kos kepada sektor perkapalan komersial dan pasaran tenaga global,” katanya kepada AFP pada Rabu.

Gupta berkata, janji Presiden AS, Donald Trump minggu lalu untuk tidak melancarkan serangan lanjut terhadap Iran sebelum pilihan raya pertengahan penggal AS juga mungkin menjadi antara faktor yang mempengaruhi perkembangan itu.

Menurutnya, keadaan berkenaan mungkin dilihat Tehran sebagai ruang untuk meningkatkan tekanan dengan risiko segera terhadap peningkatan tindakan ketenteraan AS yang lebih rendah.

Sementara itu, IMO memaklumkan kira-kira 24 pelaut maut akibat insiden di kawasan berhampiran Selat Hormuz sejak konflik berkenaan bermula. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.