
DUNGUN, 14 Oktober – Pekebun di Kampung Tepus, Hulu Dungun, Terengganu merayu tindakan segera pihak berkuasa bagi menangani masalah gajah liar yang berulang kali menceroboh kebun dan memusnahkan tanaman.
- Gangguan gajah liar berlarutan sejak beberapa tahun, menjejaskan hasil pertanian dan mengancam sumber pendapatan pekebun.
- Insiden terkini: tanaman pisang hampir dituai dimusnahkan, menyebabkan kerugian beribu ringgit dan kekecewaan pekebun.
- ADUN mengarahkan laporan kepada PERHILITAN dan menasihati pekebun supaya berhati-hati ketika berada di kebun.
Masalah yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu itu bukan sahaja menjejaskan hasil pertanian, malah mengancam sumber pendapatan pekebun yang bergantung hidup pada hasil tanaman.
Dalam kejadian terbaharu empat hari lalu, beberapa pekebun mengalami kerugian ribuan ringgit apabila tanaman pisang yang hampir dituai dimusnahkan gajah liar berkenaan.
Keadaan itu menimbulkan kekecewaan dalam kalangan pekebun sehingga ada yang berasa tawar hati untuk mengusahakan semula tananam kerana bimbang kejadian sama berulang.
“Rasa kecewa tu, memang sangat kecewa kerana kita ambil benih pun dari orang dan kita bayar pun dengan harga mahal, jadi apabila sudah tanam, dah hampir dapat hasil, semuanya dah hancur sebab dirempuh dan dimusnahkan oleh gajah,” menurut Ahmad Sharil Imran Hamzah.
“Isu gangguan gajah liar ini sudah berlarutan sejak sekian lama. Pekebun terpaksa mengeluarkan modal dan tenaga yang besar untuk mengusahakan tanah masing-masing,” kata Ahmad Nazri Mat Sham.
“Kecewa, sebab dengan hasil titik peluh kita, tak dapat hasil. Tanaman musnah, ibarat sia-sia kita berkorban kepada tanah,” luah Muhammad Izzudin Ahmad Nazri.
Ketiga-tiga pekebun itu berharap tindakan segera dapat diambil bagi mengelakkan kerugian yang dialami lebih besar, selain menjamin keselamatan mereka ketika menjalankan aktiviti di kebun.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman ketika dihubungi meminta pekebun terlibat membuat laporan kepada Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) daerah Dungun bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Beliau turut menasihati pekebun supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di kebun bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.