
GERIK, 14 Oktober – Mayat lelaki ditemukan dalam keadaan terapung berhampiran tebing Tasik Raban, Kuak, Lenggong, pada 12 Oktober lalu.
- Polis menerima maklumat orang awam kira-kira pukul 5.17 petang.
- Sebuah motosikal merah putih ditemui di kawasan tasik dipercayai berkaitan kejadian.
- Isteri mangsa mengenal pasti identiti di Hospital Taiping pada 13 Oktober.
- Bedah siasat sahkan punca kematian lemas; tiada unsur jenayah; spesimen dihantar untuk ujian toksikologi.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, mayat mangsa ditemukan selepas pihaknya menerima maklumat orang awam kira-kira pukul 5.17 petang.
“Hasil siasatan polis turut menemukan sebuah motosikal bewarna merah putih di kawasan tasik berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
“Identiti mangsa kemudian disahkan oleh isterinya pada 13 Oktober melalui proses pengecaman di Hospital Taiping,” katanya.
Beliau berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah akibat lemas dan tiada unsur jenayah dikesan.
Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan dan beberapa spesimen telah dihantar ke Jabatan Kimia Ipoh untuk ujian toksikologi.