
SHAH ALAM, 14 Oktober – Polis sedang mengesan lima suspek bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki dipercayai dikurung dan didera akibat salah faham serta perselisihan, bulan lepas.
- 15 individu berusia 20 hingga 48 tahun ditahan antara 24 hingga 27 September dan dihadapkan ke mahkamah pada 13 Oktober.
- Mangsa berusia 42 tahun diculik di Ampang Waterfront pada 24 September, kemudian dibunuh dan ditanam sekitar Semenyih pada 27 September.
- Bedah siasat mendapati punca kematian ialah kecederaan berganda akibat senjata tajam pada leher; mangsa dipercayai dikurung sebelum dibunuh.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua lima lelaki itu mempunyai rekod jenayah dan dadah serta dikenal pasti terlibat dalam kegiatan samseng.
Beliau berkata, mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan 15 individu yang telah ditahan bagi membantu siasatan beberapa kesalahan berkaitan kes itu, termasuk penculikan dan pembunuhan mangsa serta kesalahan melibatkan senjata api.
Katanya, siasatan mendapati mangsa berusia 42 tahun itu diculik beberapa individu menaiki sebuah kereta di Ampang Waterfront antara 4 pagi hingga 4.30 pagi pada 24 September lepas.
“Kehilangan mangsa kemudian dilaporkan isterinya kepada polis, sebelum operasi mencari dan mengesan mangsa dilancarkan.
“Pada 27 September, pihak polis dibawa ke suatu tapak di mana mangsa yang dilarikan telah dibunuh dan ditanam di sekitar Semenyih,” katanya pada sidang media mengenai pencapaian Jabatan Siasatan Jenayah Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Datuk Shazeli berkata, mangsa yang bekerja sendiri itu mengenali suspek dan turut dikaitkan dengan kegiatan samseng.
“Mangsa dipercayai dikurung di sebuah kediaman sebelum dibunuh. Bedah siasat mendapati punca kematian ialah kecederaan berganda akibat senjata tajam pada leher, selain beberapa kecederaan lain pada tubuhnya,” katanya.
Beliau berkata, 15 individu berusia 20 hingga 48 tahun itu ditahan antara 24 hingga 27 September lepas, selain polis turut merampas dua laras senapang, sebuah kereta dan sebatang cangkul dipercayai digunakan menanam mangsa.
“Kesemua 15 suspek didakwa di mahkamah pada 13 Oktober lepas, termasuk tiga bagi kes penculikan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34,” katanya.
Bagi kes pembunuhan, dua suspek didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, manakala tiga lagi mengikut Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 302 kanun yang sama.
Beliau berkata, bagi kesalahan berkaitan senjata api, tiga suspek didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dibaca bersama Seksyen 36(1) akta yang sama, manakala dua lagi suspek warga asing didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan, khususnya melibatkan ancaman keselamatan dan penggunaan senjata api.