Pilih pemimpin berprinsip, jiwai kesusahan rakyat – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga,kiri) menyampaikan bantuan kepada pemandu teksi/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA , 14 Oktober – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemimpin negara perlu lebih prihatin terhadap masalah rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah yang berdepan kos sara hidup yang semakin mencabar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pilih pemimpin berprinsip dan prihatin yang faham kesusahan pesawah, nelayan, pemandu teksi dan penjawat awam bawahan.
  • Pemimpin perlu bukan sekadar merangka belanjawan tetapi bertanggungjawab menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi.
  • Hargai sumbangan semua golongan, jangan abaikan pekerja bawahan; niat baik dan tindakan nyata diperlukan.

Beliau menegaskan seorang pemimpin perlu memahami kesukaran yang dihadapi setiap lapisan rakyat termasuk nelayan, pemandu teksi, pesawah dan penjawat awam berpendapatan rendah, bagi memastikan keperluan dan kebajikan terus terjamin.

“Kita nak pilih menteri ataupun pemimpin yang prihatin tentang nasib orang. Selesai semua masalah satu hari memang tak boleh, tetapi sekurang-kurangnya ada niat yang baik.

“Ini kerana negara ini perlukan pimpinan yang ada prinsip dan prihatin terhadap masalah rakyat di bawah. Yang cakap banyak, cakap pandai, maki orang, ramai. Tapi yang tahu, rasa apa nasib pesawah padi di Kedah, apa nasib pemandu teksi di Johor, apa nasib petani, apa nasib nelayan, bagaimana anak sekolah beli buku, bagaimana mahasiswa cukup makan ke tidak, bagaimana gaji penjawat awam yang peringkat rendah cukup atau tidak,” katanya.

Datuk Seri Anwar berucap pada Majlis Peluncuran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di sini.

Tambah beliau, tanggungjawab mengurus negara bukan sekadar merangka belanjawan di peringkat atas malah turut menyelesaikan masalah rakyat.

“Bagaimanapun, setiap golongan masyarakat juga berperanan dalam membantu membangunkan negara, justeru sumbangan mereka perlu dihargai tanpa mengabaikan golongan pekerja bawahan,” ujarnya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.