
KULAI, 16 Jun – Perkhidmatan Shuttle Selatan yang menghubungkan Kulai, JB Sentral dan Pasir Gudang dijangka memberi manfaat kepada lebih dua juta penduduk di koridor ketiga-tiga kawasan berkenaan.
- Perkhidmatan bermula dengan dua laluan utama: Kulai - JB Sentral - Kulai dan Kempas Baru - Pasir Gudang - Kempas Baru.
- Laluan Kulai ke JB Sentral mengambil masa kira-kira 40 minit dengan 10 perjalanan disediakan setiap hari.
- Laluan Kempas Baru ke Pasir Gudang mengambil masa antara 40 hingga 45 minit setiap perjalanan.
- Perkhidmatan memperkukuh kesalinghubungan rel Johor, mengurangkan kesesakan dan kebergantungan pada kenderaan persendirian serta melengkapkan ETS masa depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata sebagai permulaan, perkhidmatan tren itu akan beroperasi melalui dua laluan utama iaitu Kulai – JB Sentral – Kulai dan Kempas Baru – Pasir Gudang- Kempas Baru.
Menurut beliau, perkhidmatan tersebut menawarkan alternatif perjalanan yang lebih pantas dan selesa kepada pengguna, selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.
Bagi laluan Kulai ke JB Sentral, perjalanan mengambil masa kira-kira 40 minit dengan 10 perjalanan disediakan setiap hari.
Sementara itu, perjalanan bagi laluan Kempas Baru ke Pasir Gudang pula mengambil masa antara 40 hingga 45 minit.
Loke berkata, perkhidmatan berkenaan turut memperkukuh kesalinghubungan rangkaian pengangkutan awam berasaskan rel di Johor, sekali gus meningkatkan akses mobiliti rakyat antara kawasan kediaman, pusat bandar, hab perindustrian dan pusat pertumbuhan ekonomi utama negeri.
“Mereka boleh menggunakan perkhidmatan shuttle ini setiap hari untuk ke JB Sentral. Ini merupakan salah satu langkah bagi menyuraikan trafik menjelang siapnya projek Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ke Johor Bahru.
“Apabila ETS siap beroperasi ke JB Sentral nanti, penumpang juga boleh meneruskan perjalanan ke Stesen Bukit Chagar yang terletak dalam jarak kira-kira 200 meter sahaja.
“Perkhidmatan ini mampu membantu mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian,” katanya ketika ditemui semasa merasmikan Pelancaran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai, hari ini.
Perkhidmatan tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan, Kerajaan Negeri Johor, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) selaku pengendali perkhidmatan dan Perbadanan Aset Kereta Api (RAC) dalam usaha menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, selamat dan mampan kepada rakyat.
Bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, Loke berkata kerajaan turut memperkenalkan Kad Komuter MADANI Shuttle Selatan dengan peruntukan sebanyak RM150,000.
Katanya, sebanyak 3,000 kad bernilai RM50 setiap satu diagihkan kepada pengguna yang layak bagi membolehkan mereka menikmati perkhidmatan Shuttle Selatan tanpa had sepanjang tempoh yang ditetapkan.
“Kad ini boleh digunakan selama enam bulan tanpa bayaran. Dalam tempoh itu, pengguna hanya perlu membuat imbasan kad dan tidak akan dikenakan sebarang caj.
“Selepas tempoh enam bulan, pengguna akan dikenakan tambang mengikut kadar dan jarak perjalanan yang ditetapkan,” katanya.
Inisiatif itu bertujuan membiasakan orang ramai menggunakan pengangkutan awam rel sebagai pilihan utama perjalanan harian.
Kad berkenaan perlu diaktifkan di mana-mana kaunter KTMB sebelum boleh digunakan.
Selain itu, pelbagai inisiatif sokongan turut dilaksanakan bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang, termasuk penyediaan bas pengantara, penyelarasan laluan Bas.My serta perkhidmatan shuttle khas di Stesen Kempas Baru.
Langkah tersebut diambil bagi memperkukuh hubungan antara mod pengangkutan awam dan memastikan perjalanan menjadi lebih lancar dan efisien.