
SEREMBAN, 16 Jun – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius sebarang cubaan menyebarkan fahaman ekstremisme dan keganasan kepada golongan remaja, meskipun kes membabitkan pelajar sekolah setakat ini disifatkan sebagai terpencil.
- Pihak berkuasa memantau elemen yang mengancam keselamatan negara secara rapi.
- Polis mengesan remaja terdedah kepada bahan berunsur keganasan melalui platform digital.
- Pendekatan pencegahan diperkukuh melalui program kesedaran disampaikan terus kepada pelajar.
- JPJKK memperluas kempen keselamatan untuk melindungi generasi muda daripada kandungan berbahaya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setiap elemen yang boleh mengancam keselamatan negara tetap diberikan perhatian dan dipantau rapi oleh pihak berkuasa.
Menurut beliau, polis sebelum ini pernah mengesan penglibatan remaja yang terdedah kepada bahan berunsur keganasan menerusi platform digital, sekali gus menunjukkan ancaman tersebut tidak boleh dipandang ringan.
“Walaupun kes ini saya sifatkan sebagai terpencil, aspek keselamatan tetap dianggap serius. Kita tidak mahu insiden seperti serangan ke atas balai polis di Johor berulang kerana siasatan yang dibuat di rumahnya mendapati, pelaku terpengaruh dengan bahan-bahan yang memang menggalakkan keganasan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Citra Negara KDN: Sekolah Selamat di sini, hari ini.
Datuk Seri Saifuddin berkata, pendekatan pencegahan akan terus diperkukuh menerusi program kesedaran yang disampaikan secara langsung kepada pelajar bagi meningkatkan kefahaman mengenai ancaman ekstremisme dan jenayah.
Menurutnya, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) akan terus memperluaskan kempen keselamatan khususnya dalam kalangan generasi muda bagi memastikan mereka tidak mudah terpengaruh dengan kandungan berbahaya di platform digital.
Beliau menegaskan, usaha berterusan itu penting bagi membentuk persekitaran sekolah yang selamat serta mengukuhkan kesedaran keselamatan dalam kalangan pelajar.