
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan Hab P-Hailing @ D’Tebing Recharge Rider yang beroperasi 24 jam sehari bagi menyediakan ruang rehat dan kemudahan asas kepada komuniti penghantar p-hailing di ibu negara.
- Hab dibuka 24 jam untuk ruang rehat dan kemudahan asas kepada penghantar p-hailing di ibu negara.
- Menjadi langkah mengurangkan risiko kemalangan jalan raya akibat keletihan dan gejala 'microsleep' dalam kalangan penghantar p-hailing.
- Kemudahan penting untuk keselamatan pekerja gig yang bekerja sehingga 12 jam sehari; DBKL akan menambah baik dari masa ke semasa.
- Hab terbuka untuk semua rider tanpa mengira syarikat, dan kerajaan akan pertimbangkan perluasan konsep ke lokasi lain jika sambutan menggalakkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, hab berkenaan diwujudkan bagi membantu pekerja gig ini mengurangkan risiko kemalangan jalan raya akibat keletihan dan gejala ‘microsleep’ dalam kalangan penghantar p-hailing yang bekerja dalam tempoh panjang.
“Tempat ini sangat penting untuk keselamatan komuniti p-hailing yang bekerja hingga 12 jam sehari. Justeru saya harap semua pekerja gig akan menggunakan kemudahan ini dengan baik dan kita akan menambah baik (infrastruktur ini) dari masa ke semasa”, katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan kemudahan yang terletak di Pusat Penjaja D’Tebing, Bulatan Dato’ Onn itu bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
Menjelas lanjut, Hannah berkata, penyediaan hab khas itu mencerminkan komitmen DBKL dalam meningkatkan kebajikan pekerja gig yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran perkhidmatan penghantaran setiap hari.
Katanya, hab tersebut dibuka khusus untuk kegunaan komuniti rider tanpa mengira syarikat perkhidmatan yang mereka wakili dan bukan untuk kegunaan orang awam.
Menurut Hannah lagi, jika sambutan terhadap kemudahan itu menggalakkan, kerajaan akan mempertimbangkan untuk memperluaskan konsep sama ke lokasi lain di sekitar ibu negara.