Jualan Agro MADANI: Rakyat nikmati produk segar, harga berpatutan

FOTO LKIM

PUCHONG, 22 Mei Orang ramai menikmati manfaat pelbagai produk segar dan keperluan harian pada harga lebih berpatutan menerusi Program Jualan Agro MADANI bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Pasar Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Meranti, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Potongan harga antara 10 hingga 30 peratus untuk ikan, ayam, daging dan barangan asas, meringankan beban kos sara hidup.
  • Pengunjung lapor penjimatan besar; ada yang menyatakan harga lebih murah lebih 50 peratus dan berharap program diteruskan serta diperluaskan.
  • Kempen Beli Udang Tempatan tawarkan Udang Vannamei pada harga promosi RM20 sekilogram, kira-kira 50 peratus lebih murah.
  • Inisiatif LKIM dan rakan kongsi bertujuan memastikan bekalan makanan mampu milik dan mudah diakses oleh masyarakat.

Inisiatif kerajaan melalui LKIM itu membantu meringankan kos perbelanjaan rakyat dengan menawarkan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran bagi pelbagai barangan termasuk ikan, ayam, daging serta makanan asas.

Menurut pengunjung, Norazyian Amir, harga barangan Jualan Agro MADANI lebih murah berbanding pasaran biasa.

“Harga murah lebih daripada 50 peratus bagi barangan segar, selain kini terdapat lebih banyak penambahbaikan.

“Diharapkan program ini diteruskan dan mungkin diperluaskan lagi dengan penambahan produk serta penganjuran jelajah untuk melaksanakan program yang sama pada masa akan datang,” katanya kepada RTM.

Seorang lagi pengunjung, Irahazira Ikhwan menyifatkan program itu sememangnya sangat berbaloi kepada rakyat, khususnya dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

“Jadi, bagi rakyat program ini memang sangat berbaloi kerana keadaan ekonomi agak mencabar. Dengan adanya program ini, sekurang-kurangnya kita dapat berjimat melalui peruntukan yang ada dan membeli lebih banyak barangan.

“Contohnya, dengan bajet keluarga sebanyak RM300, kita boleh memperoleh kuantiti barangan yang lebih banyak menerusi jualan MADANI ini,” kata Irahazira.

Antara tarikan utama program kali ini ialah Kempen Beli Udang Tempatan yang menawarkan 800 kilogram Udang Vannamei (udang putih) pada harga promosi RM20 sekilogram, kira-kira 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran semasa.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah LKIM (pembangunan), Rashima Baharuddin berkata program itu merupakan hasrat kerajaan untuk membantu masyarakat mendapatkan bekalan makanan pada harga yang mampu milik atau lebih rendah berbanding harga pasaran.

“LKIM mengambil pendekatan bagi memastikan rakyat dapat memperoleh bekalan ikan dan makanan laut pada harga yang rendah serta mudah dicapai,” katanya.

Program diadakan dengan kerjasama NEKMAT, PENEGOR dan Melia Evolusi Sdn Bhd itu menyasarkan kehadiran 500 pengunjung dengan nilai jualan sekitar RM70,000.

Selain udang, pelbagai hasil laut, produk sejuk beku dan barangan keperluan turut menjadi pilihan pengunjung menjelang Aidiladha.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.