
KANGAR, 22 Mei- Empat lelaki warga China dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM250 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah, awal Mei lalu.
- Hukuman bermula dari tarikh tangkap, iaitu 13 Mei.
- Mahkamah memerintahkan penjara dua bulan jika gagal membayar denda.
- Didakwa memiliki peralatan pecah rumah termasuk empat batang besi, sepana boleh laras, pemotong, playar, pemutar skru dan alat berbentuk T.
Kesemua mereka berusia antara 45 hingga 52 tahun membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.
Majistret memerintahkan Chen Yufeng, 52, Peng Yongjian, 46, Liu Huazai, 51, dan Wang Jianghua, 45, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap, iaitu 13 Mei.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara dua bulan sekiranya mereka gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memiliki peralatan pecah rumah iaitu empat batang besi serta masing-masing sebatang sepana boleh laras, pemotong, playar, pemutar skru dan alat berbentuk T yang dicanai, dipercayai digunakan sebagai kunci induk.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Bukit Kaya Indah 6, Taman Bukit Kaya Indah antara jam 7.30 malam, 7 Mei hingga 7.30 pagi, 8 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 28(i)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom, manakala kesemua pesalah tidak diwakili peguam.