
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melangkah ke separuh akhir Kejohanan Malaysia Masters 2026 selepas menewaskan wakil Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi, dalam aksi suku akhir di Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini.
- Menang 21-16, 17-21, 21-16 dalam 53 minit selepas perlawanan sengit.
- Izzuddin kata perlawanan sangat sukar tetapi mereka dapat menguruskan tekanan dengan baik.
- Sze Fei akui sokongan padu penyokong tuan rumah banyak membantu mereka bangkit.
- Perlu perbaiki konsistensi pada mata-mata penting; latihan dan persiapan fizikal berterusan penting.
Turun selaku pilihan ketiga kejohanan, pasangan negara itu dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 21-16, 17-21, 21-16 dalam tempoh 53 minit.
Menurut Izzuddin, perlawanan itu bukan mudah apabila mereka berdepan tekanan pihak lawan selain suasana perlawanan yang cukup sengit.
“Memang sangat sukar hari ini. Tetapi sesuatu yang bagus bagi kami kerana kami dapat menguruskan tekanan dengan sangat baik,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Malaysia Masters 2026 – RTM
Sementara itu, Sze Fei pula mengakui sokongan padu penyokong tuan rumah banyak membantu mereka untuk bangkit terutama pada saat-saat penting permainan.
“Saya rasa kami hanya bermain seperti biasa. Tetapi penyokong sangat memberi tekanan kepada lawan kami. Kredit juga kepada penyokong,” katanya.
Menurut Sze Fei masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki menjelang aksi separuh akhir, khususnya dari sudut konsistensi ketika mata-mata kritikal.
“Saya rasa pada mata-mata penting, kami perlu lebih tegas dan konsisten,” katanya.
Dalam pada itu Izzuddin berkata, persiapan fizikal dan latihan berterusan menjadi faktor penting membantu mereka mengekalkan intensiti permainan.
“Kami telah bersedia untuk pertandingan ini. Kami masih menjalani latihan ketika kejohanan berlangsung dan itu sangat penting bagi kami,”
katanya.