
KUALA LUMPUR, 27 November – Perubahan format beberapa kejohanan utama Persekutuan Badminton Dunia (BWF), khususnya Piala Thomas dan Piala Uber, perlu melalui kajian serta rundingan menyeluruh bersama semua ahli gabungan sebelum dilaksanakan, kata Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh.
- Perubahan format Piala Thomas dan Piala Uber perlu dikaji serta dirunding secara menyeluruh bersama semua ahli gabungan.
- Format baharu mengurangkan setiap pertemuan kepada dua acara perseorangan dan satu beregu.
- Kenny Goh berpandangan format baharu perlu diuji dan disokong data sebelum keputusan dibuat.
- Pengumuman tanpa perbincangan dengan ahli gabungan menimbulkan persoalan dalam kalangan negara anggota.
Perkara itu susulan keputusan BWF memperkenalkan format baharu bagi Piala Thomas dan Piala Uber bermula edisi 2028, termasuk mengurangkan jumlah perlawanan daripada lima kepada tiga bagi setiap pertemuan antara negara.
Menerusi format baharu itu, setiap pertemuan hanya akan membabitkan dua acara perseorangan dan satu beregu, berbanding format sedia ada yang mempertandingkan tiga acara perseorangan dan dua beregu.
Sementara itu, Kejohanan Dunia 2027 bakal menyaksikan pengenalan peringkat kumpulan sebelum saingan kalah mati, menggantikan format sedia ada yang menggunakan sistem kalah mati secara terus.
Bagi Piala Sudirman 2027 pula, jumlah penyertaan akan ditingkatkan daripada 16 kepada 24 negara.
Format kejohanan berkenaan turut diubah kepada tiga kumpulan, dengan setiap kumpulan menampilkan lapan pasukan.
“Jadi, saya juga tidak pasti sama ada kita boleh mengemukakan bantahan atau apakah langkah seterusnya. Mungkin dalam beberapa minggu ini, kita akan mendapat maklum balas daripada ahli gabungan lain kerana setakat ini, saya masih belum mendengar sebarang maklum balas daripada mereka.
“Saya rasa kita perlu berfikiran secara rasional dan bukan mengikut emosi. Sama ada format itu akan menguntungkan Malaysia atau tidak, itu perkara lain. Apa yang penting, kita perlu sedar bahawa Piala Thomas dan Piala Uber ibarat Piala Dunia dalam sukan badminton.
“Justeru, sebelum sesuatu format baharu dilaksanakan, perlu ada kajian dan ujian yang menyeluruh bagi mengumpul sebanyak mungkin data sebelum keputusan dibuat,” katanya selepas sesi latihan badminton di sini, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan berkenaan perubahan format terbaharu itu tidak melalui proses ujian dan perbincangan bersama ahli gabungan seperti yang dilaksanakan bagi sistem pemarkahan 15 mata, tiga set.
Katanya, keputusan yang diumumkan tanpa perbincangan terlebih dahulu bersama ahli gabungan menimbulkan persoalan dalam kalangan negara anggota.