Tiga beregu lelaki negara mara ke separuh akhir

Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mara selepas menewaskan beregu muda China, Hu Keyuan-Lin Xiangyi, 21-15, 21-16. – RTM

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Tiga beregu lelaki negara menceriakan kem badminton Malaysia apabila berjaya mara ke separuh akhir kejohanan Malaysia Masters di Unifi Arena, Bukit Jalil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aaron-Wooi Yik mara selepas menewaskan beregu muda China Hu Keyuan-Lin Xiangyi 21-15, 21-16 dalam 34 minit.
  • Pertemuan sesama negara Aaron-Wooi Yik lawan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin pastikan sekurang-kurangnya satu wakil Malaysia di akhir.
  • Arif Junaidi-Yap Roy King mara selepas menewaskan Chen Zhi Yi-Presley Smith 21-15, 21-19 dan akan berdepan pasangan Denmark Lundgaard-Vestergaard.

Lebih manis, pertembungan sesama sendiri antara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di separuh akhir turut memastikan sekurang-kurangnya satu slot Malaysia di pentas akhir acara beregu lelaki.

Pasangan pilihan utama kejohanan, Aaron-Wooi Yik, mara selepas menewaskan beregu muda China, Hu Keyuan-Lin Xiangyi, 21-15, 21-16 dalam tempoh 34 minit.

Menurut Aaron, mereka sedar lawan dari China itu memiliki corak permainan pantas dan agresif, namun pengalaman menjadi faktor penting untuk mengawal rentak perlawanan.

Aaron-Wooi Yik akan berdepan rakan senegara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di separuh akhir – RTM

“Saya rasa permainan mereka memang cepat kerana mereka muda. Mereka bermain dengan lebih banyak kelajuan dan tenaga.

“Jadi, kami perlu menetapkan permainan kami sendiri di gelanggang, lebih tenang dan lebih konsisten. Saya rasa itu yang menjadi hari ini,” katanya selepas tamat perlawanan.

Mengulas aksi separuh akhir menentang Sze Fei-Izzuddin esok, Aaron menjangkakan satu lagi perlawanan sukar menanti mereka, namun bersyukur kerana Malaysia sudah memiliki wakil di perlawanan akhir.

“Saya rasa ia akan menjadi perlawanan yang sukar esok. Tetapi yang penting, sudah ada satu wakil Malaysia di pentas akhir,” katanya.

Dalam pada itu Wooi Yik berkata, meskipun bakal berhadapan rakan senegara mereka mempunyai peluang yang sama rata untuk mengesahkan slot ke aksi akhir.

“Saya rasa tahap permainan kami lebih kurang sama. Tetapi apabila berada di tahap lebih tinggi, kami perlu lebih tenang. Semua pemain ada skil dan kekuatan masing-masing, jadi semuanya bergantung kepada bagaimana kami mengawal situasi dan diri sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Aaron berharap satu lagi beregu negara, Arif Junaidi-Yap Roy King, mampu meneruskan kemaraan mereka bagi merealisasikan impian perlawanan sesama wakil Malaysia seperti edisi tahun lalu.

Terdahulu, Arif-Roy King mara ke separuh akhir selepas menewaskan Chen Zhi Yi-Presley Smith 21-15, 21-19 dalam tempoh 33 minit.

Mereka akan bertemu pasangan ke-18 dunia dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.