
MANCHESTER, 22 Mei – Pengendali terkenal, Pep Guardiola mengumumkan akan meninggalkan Manchester City pada penghujung musim ini selepas sedekad penuh gemilang bersama kelab itu.
- Guardiola menghadiahkan 20 trofi termasuk enam gelaran Liga Perdana dan gelaran Liga Juara Eropah pertama kelab.
- Perlawanan menentang Aston Villa di Stadium Etihad dijangka menjadi aksi terakhir beliau selaku pengendali City.
- Beliau dijangka terus bersama kelab sebagai duta global walaupun tidak lagi menjadi pengurus.
- Mengakui kelab perlukan tenaga baharu; beliau akan berehat dan menolak kemungkinan kembali kejurulatihan dengan segera.
Sepanjang tempoh berkenaan, Guardiola menghadiahkan 20 trofi termasuk enam gelaran Liga Perdana Inggeris serta menjulang trofi Liga Juara Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab.
Perlawanan menentang Aston Villa di Stadium Etihad, Ahad ini, bakal menjadi aksi terakhir beliau selaku pengendali City.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Sepanyol itu dijangka terus bersama kelab berkenaan sebagai duta global.
Dalam video penuh emosi yang dikongsi pihak kelab, Guardiola menyifatkan tempoh bersama City sebagai detik luar biasa dalam kariernya.
“Apa yang telah kita lalui bersama amat luar biasa. Jangan tanya mengapa saya pergi. Tiada sebab tertentu, tetapi jauh di sudut hati, saya tahu inilah masanya.
“Tiada apa yang kekal selamanya. Jika ada yang kekal, saya pasti masih berada di sini. Yang kekal hanyalah perasaan, insan-insan, kenangan dan kasih sayang saya terhadap Manchester City,” katanya.

Berita mengenai pemergian pengendali kelahiran Catalan itu mula dilaporkan pada Isnin, dua hari selepas beliau memenangi trofi Piala FA ketiganya bersama kelab.
Sementara itu, Guardiola berpendapat kelab itu memerlukan tenaga baharu untuk mengekalkan standard tinggi yang telah dibina sepanjang tempohnya bersama pasukan dan menolak kemungkinan kembali segera ke dunia kejurulatihan.
“Saya perlu bernafas seketika dan berehat. Saya rasa ia akan mengambil sedikit masa,” tambahnya. – AFP