
AMPANG, 27 November – Penyalahgunaan aset pertahanan negara, khususnya pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi kegiatan penyeludupan dadah merupakan satu bentuk pengkhianatan yang boleh mengancam keselamatan negara.
- Penyalahgunaan aset TUDM untuk menyeludup dadah ialah pengkhianatan yang mengancam keselamatan negara dan tidak boleh dianggap kejadian terpencil.
- Perdana Menteri menegaskan tiada kompromi terhadap pihak terlibat dan mengarahkan pemantauan serta tindakan tegas jika berlaku kelemahan agensi.
- Jemaah Menteri sebulat suara menyokong usaha membanteras kegiatan itu, dengan laporan diminta daripada badan penguat kuasa berkaitan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kegiatan itu tidak boleh dipandang sebagai kejadian terpencil, sebaliknya perlu ditangani secara menyeluruh memandangkan terdapat petunjuk masalah berkenaan telah berlaku sejak sekian lama.
“Mana mungkin kita membiarkan benteng pertahanan negara kita dibocori begitu sahaja oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ini merupakan satu pengkhianatan terhadap negara dan membawa bahaya yang amat besar.
“Saya faham, inilah yang menyebabkan sebahagian daripada mereka membenci saya.
“Saya ingin tegaskan bahawa selagi saya masih memegang tugas, tanggungjawab dan amanah ini, saya tidak akan berkompromi dalam perkara sedemikian.
“Walaupun kita telah mengambil pelbagai tindakan, malah jumlah tindakan yang diambil dalam beberapa tahun kebelakangan ini adalah yang paling banyak berbanding tahun-tahun sebelumnya, namun perkara ini masih juga berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai solat Jumaat di Masjid Bandar Baru Ampang, hari ini.
Tambahnya, beliau telah mengarahkan kementerian berkaitan supaya memantau isu berkenaan secara dekat dan memastikan tiada sebarang kompromi terhadap pihak yang terlibat.
“Jadi, saya telah mengarahkan semua badan penguat kuasa supaya tidak menganggap perkara ini sebagai kejadian terpencil. Saya mahu laporan daripada setiap jabatan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pertahanan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan kastam.
“Jika berlaku kebocoran atau kelemahan dalam mana-mana agensi, termasuk kastam, kita akan beri amaran dan mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar memaklumkan Jemaah Menteri turut sebulat suara menyokong usaha membanteras kegiatan berkenaan.