
BANGKOK, 28 April – Thailand sedang mempertimbang untuk memperkenalkan semula yuran perjalanan keluar negara sebanyak 1,000 baht kepada rakyatnya sebagai sebahagian usaha merancakkan pelancongan domestik, dengan hasil kutipan dijangka digunakan untuk membiayai skim “Half-Half Travel” kerajaan.
- Program Half-Half Travel menawarkan subsidi 50 peratus untuk merancakkan pelancongan domestik.
- Kementerian berbincang guna Dekri Diraja Percukaian Perjalanan ke Luar Negara (1983) untuk memberi kuasa mengenakan yuran kepada rakyat.
- Yuran hanya akan dikenakan kepada rakyat Thailand, tidak kepada pelawat asing; jika diluluskan Kabinet, pelaksanaan boleh bermula serta-merta.
“Half-Half Travel” ialah projek rangsangan kerajaan Thailand yang menawarkan subsidi 50 peratus bagi menggalakkan pelancongan domestik.
Menteri Pelancongan dan Sukan Surasak Phancharoenworakul berkata kementerian sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk menguatkuasakan semula Dekri Diraja mengenai Percukaian bagi Perjalanan ke Luar Negara (1983), yang membolehkan pihak berkuasa mengenakan yuran kepada rakyat Thailand yang melancong ke luar negara.
Beliau berkata yuran yang dicadangkan, iaitu 1,000 baht seorang bagi setiap perjalanan, diunjurkan mampu menjana kira-kira 10 bilion baht setahun, berdasarkan anggaran 10 juta rakyat Thailand melakukan perjalanan ke luar negara setiap tahun.
“Hasil kutipan itu akan digunakan untuk menyokong program ‘Half-Half Travel’, yang menawarkan 10 juta kelayakan bagi menggalakkan pelancongan domestik dan membendung aliran keluar modal,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Surasak yakin langkah itu tidak akan menjejaskan keputusan rakyat Thailand untuk melancong, sambil menyatakan yuran berkenaan adalah agak rendah berbanding tambang penerbangan semasa.
Beliau menjelaskan yuran perjalanan keluar itu hanya akan dikenakan kepada rakyat Thailand dan tidak terpakai kepada pelawat asing.
Surasak berkata butiran lanjut sedang dimuktamadkan bersama Kementerian Kewangan, sambil menambah bahawa kerangka undang-undang bagi pelaksanaan langkah itu sudah tersedia.
“Jika diluluskan Kabinet, yuran itu boleh dilaksanakan serta-merta,” katanya.
Cadangan memperkenalkannya semula pada kadar lebih tinggi mencerminkan keadaan ekonomi semasa dan keperluan menyokong langkah rangsangan pelancongan.
Thailand sebelum ini pernah mengenakan cukai perjalanan ke luar negara yang sama sebanyak 500 baht, namun ia kemudian dimansuhkan dan digantikan dengan cukai pelepasan lapangan terbang sebanyak 700 baht pada awal 2000-an. – BERNAMA