
YOGYAKARTA, 28 April – 13 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung imej tular yang memaparkan penderaan terhadap kanak-kanak disebuah pusat jagaan harian di sini.
- 11 pengasuh serta pengetua dan ketua yayasan pusat jagaan ditahan berhubung siasatan penderaan kanak-kanak.
- Rakaman CCTV tunjukkan kanak-kanak bawah dua tahun diikat memakai lampin; 20 kanak-kanak berhimpit dalam bilik kurang 100 kaki persegi.
- Pusat menempatkan kira-kira 100 kanak-kanak; lebih separuh dipercayai dianiaya; suspek berdepan penjara hingga lima tahun dan denda 100 juta rupiah.
Polis Indonesia memaklumkan, pihaknya telah melakukan serbuan ke atas pusat jagaan Little Aresha susulan laporan dibuat oleh seorang bekas pekerjanya.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kanak-kanak itu yang kebanyakannya berusia bawah dua tahun dibiarkan terbaring di lantai hanya memakai lampin dengan kaki serta tangan diikat menggunakan kain.
Pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa seramai 20 kanak-kanak ditemui berhimpit dalam sebuah bilik berkeluasan kurang daripada 100 kaki persegi.
“Setakat ini, 13 individu telah dikenal pasti sebagai suspek” dan ditahan dalam kes ini, kata Ketua Polis Bandar, Eva Guna Pandia, kepada wartawan di Yogyakarta pada Isnin.
Mereka yang ditahan termasuk 11 pengasuh kanak-kanak, selain pengetua dan ketua yayasan yang mengendalikan pusat tersebut.
Kesemua suspek bakal berdepan pelbagai pertuduhan termasuk pengabaian kanak-kanak, dan pertuduhan lain mungkin ditambah mengikut perkembangan siasatan.
Pandia berkata, suspek memaklumkan kepada polis bahawa tindakan mengikat sebahagian kanak-kanak dilakukan bagi mengelakkan mereka mengganggu kanak-kanak lain.
Menurut penyiasat Yogyakarta, Riski Adrian, suspek turut mendakwa pusat tersebut kekurangan kakitangan, menyebabkan mereka tidak mampu menguruskan mandi dan pemakaian kanak-kanak dengan sempurna.
Pusat jagaan itu menempatkan kira-kira 100 kanak-kanak, dan lebih separuh daripadanya dipercayai telah dianiaya, menurut polis.
Seorang ibu bapa, Noorman Windarto, memberitahu AFP bahawa beliau terkejut apabila menerima panggilan daripada seorang lagi ibu bapa pada Jumaat lalu yang memintanya segera mengambil anak lelakinya yang berusia dua tahun.
Beliau kemudian dimaklumkan oleh polis bahawa anaknya, yang telah dimasukan ke pusat tersebut sejak berusia tiga bulan, adalah antara yang diikat.
“Hati saya hancur luluh,” kata penjawat awam berusia 42 tahun itu.
“Isteri saya menangis. Kebanyakan pengasuh adalah wanita, dengan bahasa tubuh yang lembut, pertuturan sopan, dan kelihatan berpegang kepada nilai agama.”
Noorman membayar kira-kira 1.1 juta rupiah (sekitar AS$64) bagi setiap seorang daripada dua anaknya untuk duduk di pusat tersebut, iaitu bersamaan separuh daripada gaji minimum di Yogyakarta. Pusat penjagaan itu kini telah ditutup.
Anak sulungnya, pernah pulang rumah dengan kesan lebam di badan yang didakwa pihak pusat sebagai akibat bermain di tempat lain.
Anak lelakinya pula pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital akibat radang paru-paru, yang kini disyaki ada kaitan dengan keadaan dipaksa tidur di lantai sejuk tanpa pakaian.
“Saya sangat marah, berang,” katanya. “Mereka mesti dihukum seberat-beratnya.”
Bawah undang-undang perlindungan kanak-kanak Indonesia, kesemua suspek berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda sebanyak 100 juta rupiah. -AFP