Eksploitasi seksual kanak-kanak: 11 lelaki ditahan di Singapura

Pasukan Polis Singapura (SPF) menahan 11 lelaki di republik itu dalam operasi rentas sempadan bagi membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak. /Foto SPF

SINGAPURA, 28 April – Pasukan Polis Singapura (SPF) menahan 11 lelaki di republik itu dalam operasi rentas sempadan bagi membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi rentas sempadan selama empat minggu melibatkan polis dari Brunei, Hong Kong, Jepun, Malaysia, Korea Selatan dan Thailand.
  • Serbuan di 382 lokasi; 326 ditahan dan 119 disiasat tambahan, jumlah keseluruhan 445 individu.
  • Pihak berkuasa merampas komputer, telefon bimbit, tablet, peranti storan, penghala dan bahan penderaan seksual kanak-kanak.
  • SPF bekerjasama rapat dengan syarikat teknologi, institusi kewangan dan pertubuhan bukan kerajaan sepanjang operasi.

Operasi selama empat minggu itu melibatkan pihak polis di Singapura, Brunei, Hong Kong, Jepun, Malaysia, Korea Selatan dan Thailand, lapor CNA memetik kenyataan SPF.

Operasi terbabit menyaksikan serbuan di 382 lokasi di tujuh wilayah berkenaan dengan penahanan 326 orang antara 23 Mac hingga 17 April 2026, manakala 119 individu lagi membantu siasatan.

“Seramai 445 orang yang ditahan dan disiasat terdiri daripada 430 lelaki dan 15 wanita berusia antara 12 hingga 72 tahun,” menurut SPF pada Selasa.

Pihak berkuasa turut merampas peranti elektronik termasuk 116 komputer, 340 telefon bimbit, 25 tablet elektronik, 140 peranti storan dan 16 penghala, selain bahan penderaan seksual kanak-kanak serta kandungan lucah.

SPF memaklumkan pihak berkuasa turut bekerjasama rapat dengan syarikat teknologi, institusi kewangan dan pertubuhan bukan kerajaan sepanjang operasi itu. – BERNAMA