
ALOR SETAR, 28 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman seorang pemilik syarikat pembinaan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu kepada sebuah institusi kewangan pembangunan bagi mendapatkan pembiayaan pembelian dron bernilai kira-kira RM90,000.
- Suspek hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah dan ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
- Siasatan awal mendapati perbuatan dipercayai berlaku pada tahun 2024.
- Pengarah SPRM Kedah Datuk Nazli Rasyid Sulong mengesahkan penahanan berkenaan.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Perintah reman selama tiga hari sehingga 30 April ini dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.
Siasatan awal mendapati suspek yang juga pemilik sebuah syarikat pembinaan dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024.
“Suspek dipercayai mengemukakan sebut harga kepada institusi kewangan berkenaan bagi tujuan pembiayaan pembelian dron, namun urusan jual beli dron tersebut sebenarnya tidak berlaku,” menurut sumber.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.