Malaysia hargai peranan Pakistan dalam rundingan Iran-AS

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Malaysia menghargai peranan Pakistan dalam usaha pengantaraan berterusan melibatkan rundingan antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS), serta kesediaan negara itu menjadi tuan rumah bagi rundingan seterusnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia kekal berpendirian bahawa segala pertikaian perlu diselesaikan melalui dialog, diplomasi dan pendekatan damai demi kestabilan Asia Barat.
  • Pemimpin bertukar pandangan mengenai perkembangan positif rundingan Iran-AS dan pembukaan semula Selat Hormuz untuk kestabilan perdagangan dan keselamatan serantau.
  • Kedua-dua pemimpin menyeru tindakan tegas masyarakat antarabangsa untuk menghentikan keganasan terhadap orang awam di Gaza dan Lubnan.
  • Mereka membincangkan perkembangan serantau dan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Pakistan, serta ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dinyatakan beliau dalam panggilan telefon bersama rakan sejawatannya dari Pakistan, Shehbaz Sharif.

“Malaysia kekal berpendirian bahawa segala pertikaian perlu diselesaikan melalui dialog, diplomasi dan pendekatan damai demi menjamin kestabilan rantau Asia Barat,” katanya.

Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata, beliau dan rakan sejawatannya itu bertukar pandangan mengenai perkembangan positif dalam rundingan Iran-AS, termasuk perbincangan berhubung pembukaan semula Selat Hormuz yang penting kepada kestabilan perdagangan dan keselamatan serantau.

Di samping itu, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan masyarakat antarabangsa mengambil langkah tegas, bagi menghentikan keganasan terhadap orang awam di Gaza dan Lubnan.

Dalam perbualan itu, Datuk Seri Anwar dan Shehbaz juga menyentuh mengenai pelbagai perkembangan serantau serta usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Pakistan yang sekian lama terjalin erat.

Datuk Seri Anwar turut mengambil kesempatan menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada Shehbaz serta rakyat Pakistan, dengan harapan semangat pengorbanan dan persaudaraan terus memperkukuh keamanan dan kesejahteraan ummah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.