Selangor naib juara ACC 2025-2026, tewas kepada Buriram menerusi agregat 3-1

Foto FB Selangor FC

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Selangor FC terpaksa berpuas hati apabila sekadar muncul naib juara Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) 2025-2026 selepas dikecewakan Buriram United 3-1 secara agregat, pada perlawanan akhir kedua di Arena Chang, Buriram, malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Buriram mempertahankan gelaran kelab terbaik Asia Tenggara.
  • Selangor membuat penampilan sulung di pentas akhir kejohanan.
  • Selangor mendahului melalui rembatan jarak jauh Muhamad Syahir Bashah pada minit ke-18.
  • Buriram bangkit; Suphanat Mueanta menyamakan, Theeraton Bunmathan menambah jaringan untuk membalikkan keadaan.

Skuad Red Giants gagal menandingi kehebatan Buriram apabila kalah 1-2.

Keputusan itu menyaksikan Buriram mempertahankan gelaran kelab terbaik Asia Tenggara, manakala Selangor terpaksa berpuas hati muncul naib juara dalam penampilan sulung mereka di pentas akhir kejohanan itu.

Selangor hampir membolosi gawang tuan rumah pada mint ke-10 apabila Nooa Laine meledak bola tepat ke tengah jaringan, namun berjaya ditangkap penjaga gawang tuan rumah Neil Etheridge.

Pasukan Red Giants berhasil mendahului 1-0, apabila Muhamad Syahir Bashah membuat rembatan jarak jauh pada minit ke-18.

Kegembiraan itu bagaimanapun hanya bertahan 10 minit, apabila Buriram bangkit menyamakan kedudukan menerusi hasil penyudah Suphanat Mueanta selepas memperoleh bantuan Theeraton Bunmathan, sekali gus meletakkan Buriram di hadapan secara agregat 2-1.

Memasuki sepak mula kedua, skuad Red Giants sekali lagi dihukum dengan satu lagi jaringan kali ini menerusi Theeraton pada minit ke-55.

Pertukaran demi pertukaran dilakukan Pan Gon kelihatan tidak membuahkan hasil, selain Buriram sekali lagi menambah luka Selangor apabila Robert Zulj tenang meleret bola ke dalam gawang pada masa kecederaan.

Jaringan itu bagaimanapun dibatalkan, apabila pemeriksaan Video Assistant Referee (VAR) mendapati penyerang Selangor Chrigor Moraes dijatuhkan pertahanan Buriram Shinnaphat Lee-Oh, sebelum jaringan dilakukan menjadikan keputusan kekal 2-1 dan agregat 3-1 hingga ke wisel penamat.

Pada perlawanan pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Rabu lepas, Buriram United menang tipis 1-0 ke atas Selangor, hasil jaringan tunggal Suphanat Mueanta. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.