Mahkamah tetapkan 18 Ogos bicara kes Fahmi Zainol cederakan isteri

FOTO BERNAMA

BALIK PULAU, 28 April – Mahkamah Majistret Balik Pulau menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol yang didakwa dengan sengaja mencederakan isterinya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah tetapkan tarikh perbicaraan sebelum menerima laporan perubatan yang dijangka diterima minggu ini.
  • Peguam bela memohon tarikh terdekat kerana kes tidak melibatkan perkara berat dan penangguhan dua bulan menyebabkan kelewatan tidak wajar.
  • Pengadu membuat dua laporan polis, sebelum dan selepas kejadian, serta ada usaha untuk menarik balik laporan tersebut.
  • Mahkamah menetapkan 14 Mei sebagai tarikh serahan dokumen dan laporan perubatan berhubung kes tersebut.

Majistret Chia Huey Ting turut menetapkan 14 Mei ini sebagai tarikh serahan dokumen serta laporan perubatan berkaitan kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affendi Zulkifly, manakala tertuduh diwakili peguam, Dr Shamsher Singh Thind.

Pada 27 Februari lalu, Fahmi yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa dengan sengaja mencederakan isterinya, Nur Hidayah Abd Jabar, 35, kira-kira pukul 10 malam pada 22 Februari lalu di sebuah rumah di Persiaran Pantai Jerejak 11, Bayan Lepas.

Kes didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.