
MELAKA, 28 April – Polis Melaka menumpaskan dua sindiket ‘calling centre’ yang menjalankan penipuan tawaran khidmat seks, ‘love scam’ dan pelaburan tidak wujud dalam serbuan di dua rumah berasingan di Taman Kota Bendahari pada 23 April lalu.
- 45 individu berusia 20 hingga 44 tahun ditahan dalam operasi kira-kira pukul 11 pagi.
- Serbuan pertama tahan 19 lelaki, seorang wanita China dan seorang wanita Indonesia disyaki menipu tawaran khidmat seks.
- Serbuan kedua tahan 19 lelaki, empat wanita Vietnam dan seorang lelaki China; disyaki menjalankan love scam serta pelaburan kripto palsu melalui Viber.
- Rampasan: 85 telefon bimbit, 21 komputer desktop, tiga komputer riba, dokumen skrip, 24 pasport; kes disiasat bawah Seksyen 420, 120B dan Akta Imigresen.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, seramai 45 individu berusia antara 20 hingga 44 tahun ditahan dalam operasi yang dijalankan kira-kira pukul 11 pagi itu.
Menurut beliau, serbuan pertama membawa kepada penahanan 19 lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang wanita warga Indonesia berusia 28 hingga 44 tahun yang dipercayai terlibat dalam penipuan tawaran khidmat seks tidak wujud.
“Sindiket itu disyaki menyasarkan warga China melalui aplikasi Dingtalk. Dalam serbuan kedua pula, polis menahan 19 lelaki, empat wanita warga Vietnam serta seorang lelaki warga China berusia 20 hingga 42 tahun.
“Sindiket tersebut dipercayai menjalankan kegiatan love scam dan pelaburan tidak wujud dengan menyasarkan warga Vietnam menerusi aplikasi Rakuten Viber sebelum menawarkan pelaburan kripto palsu,” katanya.
Dzulkhairi berkata, kedua-dua sindiket dipercayai mula aktif sejak empat bulan lalu dengan ahli sindiket menerima gaji antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan, manakala pengurus memperoleh bayaran lebih tinggi selain komisen RM500 hingga RM2,000 bagi setiap mangsa yang berjaya diperdaya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang.
Dalam operasi itu, polis turut merampas tiga komputer riba, 85 telefon bimbit, tiga modem dan router, 18 dokumen skrip penipuan, lapan pasport milik warga asing, 21 komputer desktop lengkap dengan monitor, tetikus dan papan kekunci serta 24 pasport milik suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.