Nahas Kuala Krai: Anak, cucu pula meninggal dunia

Foto RTM

KUALA KRAI, 27 Mei – Dua lagi mangsa maut dalam nahas membabitkan sebuah kereta dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 100 Jalan Kota Bharu-Gua Musang di Kampung Laloh di sini, pagi tadi yang meragut nyawa seorang wanita.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anak dan cucu mangsa, Jasmin Lyana (22) dan Nur Nuha Helena (1), meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra.
  • Kereta dipercayai memotong kenderaan hadapan sebelum bertembung berdepan dengan sebuah MPV.
  • Pemandu kereta lelaki 22 tahun cedera, pemandu MPV dan empat penumpang cedera ringan; kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mangsa yang disahkan meninggal dunia petang tadi ialah penumpang kereta yang juga anak wanita berkenaan, Jasmin Lyana Mohd Jamil, 22 tahun dan cucunya, Nur Nuha Helena Abdul Matiin yang berusia setahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, DSP Mohd Maizan Mustaffa memaklumkan, kedua-dua mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra.

Dalam nahas kira-kira pukul 8.15 pagi itu, Safinaz Razmi, 52 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kereta yang dinaiki bersama empat ahli keluarga bertembung dengan sebuah MPV.

Siasatan awal mendapati, kereta dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai itu dipercayai memotong kenderaan di hadapan, sebelum bertembung dengan MPV yang datang dari arah bertentangan.

Ekoran pertembungan itu, pemandu kereta, lelaki berusia 22 tahun mengalami kecederaan, manakala pemandu MPV bersama empat penumpang lain turut mengalami kecederaan ringan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik IPD Kuala Krai atau pegawai penyiasat Inspektor Mohd Khairul Izaat Md Nasir di talian 09-9666222 bagi membantu siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.