Melontar jamrah didik jemaah tundukkan ego, utamakan kepentingan orang lain

Jemaah haji menunaikan ibadah melontar di Jamrah Al-Aqabah hari ini/Bernama

MAKKAH, 27 Mei- Ibadah melontar jamrah bukan sekadar melengkapkan satu daripada syarat wajib haji, malah menjadi medan pendidikan yang mengajar jemaah menundukkan ego dan mengutamakan kepentingan orang lain ketika jutaan manusia berhimpun di satu tempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Membentuk sifat sabar, bertolak ansur dan menghormati hak orang lain semasa melaksanakan ibadah.
  • Melontar jamrah adalah simbol ketaatan kepada Allah, bukan kerana melihat syaitan secara fizikal.
  • Kerjasama dan toleransi ketika melontar membuktikan kekuatan ummah; semangat itu mesti diterapkan selepas musim haji.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata antara hikmah terbesar di sebalik ibadah itu ialah membentuk sifat sabar, bertolak ansur dan menghormati hak orang lain ketika melaksanakan ibadah.

Beliau berkata asas melontar jamrah adalah kepatuhan kepada perintah Allah SWT, bukan kerana jemaah melihat syaitan secara fizikal, sebaliknya sebagai simbol ketaatan dan pengabdian kepada-Nya.

“Apabila berada di kawasan jamrah, kita tidak boleh berebut atau mementingkan diri sendiri. Kita perlu memberi laluan kepada orang lain dan melaksanakan ibadah dengan tenang.

“Di situlah ego (kita) diuji. Kita belajar bahawa dalam keadaan sesak sekalipun, kepentingan bersama perlu didahulukan berbanding kehendak diri sendiri,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Ahmad Fauwaz berkata kelancaran jutaan umat Islam melaksanakan ibadah melontar jamrah setiap tahun turut membuktikan bahawa nilai kerjasama dan toleransi mampu diterjemahkan dalam keadaan yang mencabar.

Katanya, semangat saling membantu dan bertimbang rasa ketika melaksanakan ibadah itu mencerminkan kekuatan ummah yang dibina atas asas kasih sayang dan perpaduan.

“Kalau dalam perkara yang kelihatan mudah seperti melontar batu kecil pun kita mampu bekerjasama, apatah lagi untuk melaksanakan agenda yang lebih besar bagi kepentingan umat Islam,” katanya.

Beliau berkata semangat menundukkan ego dan mendahulukan orang lain itu tidak seharusnya terhenti di Tanah Suci, sebaliknya perlu dibawa pulang dan diterapkan dalam kehidupan selepas selesai musim haji. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.