
KUALA LUMPUR, 29 November –Pelaksanaan ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) hari ini mendapat maklum balas positif orang ramai yang menyifatkannya sebagai inisiatif penting dalam mempercepat penyampaian maklumat ketika berlaku kecemasan.
- Bunyi amaran MySiren berjaya menarik perhatian pengguna meskipun telefon dalam mod senyap atau mereka memakai fon telinga.
- Sistem membolehkan orang ramai menerima amaran dan maklumat kecemasan secara serentak.
- MySiren membantu masyarakat mengetahui tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan.
Mereka berpandangan sistem berkenaan dapat memastikan orang ramai menerima amaran secara serentak, sekali gus membantu meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan.
Menurut Penjawat Awam, Marissa Rusli, bunyi amaran MySiren berjaya menarik perhatiannya meskipun sedang memakai fon telinga ketika berada di dalam kereta.
“Secara tidak dijangka, saya menerima amaran itu ketika berada di dalam kereta dan sedang memakai fon telinga. Bunyi amaran itu tetap kedengaran dengan kuat meskipun saya sedang mendengar muzik.
“Saya berpendapat sistem ini sangat baik kerana berjaya menarik perhatian pengguna,” katanya.
Sementara itu, Pekerja Swasta, Prahashini Galadaran berkata, beliau sudah mengetahui mengenai pelaksanaan ujian berkenaan menerusi laporan berita dan menjangkakan penerimaan notifikasi pada hari ini.
“Bunyinya sangat kuat dan berlaku secara tiba-tiba. Telefon saya ketika itu berada dalam mod senyap, namun amaran itu tetap diterima dan berjaya menarik perhatian saya serta pemandu Grab saya,” katanya.
Dalam pada itu, Penjawat Awam, Syafiqah Aslah Sohaimi melihat MySiren sebagai inisiatif positif kerajaan dalam memastikan masyarakat mendapat makluman sekiranya berlaku kecemasan.
“Pada mulanya, saya menyangka telefon bimbit saya mengalami kerosakan apabila bunyi amaran itu tiba-tiba kedengaran.
“Namun, saya kemudian menyedari ia merupakan amaran daripada kerajaan. Saya rasa sistem ini bagus kerana dapat memaklumkan kepada orang ramai sekiranya berlaku kecemasan supaya mereka tahu tindakan yang perlu diambil,” katanya.
Seorang lagi responden (Pelajar), Celeste Teo Sze Ning yang merupakan pelajar pula berpandangan sistem itu membolehkan orang ramai menerima maklumat kecemasan secara serentak.
“Ketika berada di sebuah medan selera, tiba-tiba telefon semua orang berbunyi pada masa yang sama dan keadaan itu agak mengejutkan.
“Saya rasa sistem ini sangat bagus kerana semua orang boleh menerima amaran dan mendapatkan maklumat terkini secara serentak,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pelaksanaan sistem itu sebagai memadai setakat ini tanpa memerlukan penambahbaikan khusus.
Ujian yang berlangsung dari pukul 10.10 hingga 10.30 pagi itu bertujuan menguji keupayaan sistem berkenaan menyalurkan notifikasi kecemasan secara pantas kepada telefon bimbit pengguna.
MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran disampaikan terus kepada telefon bimbit serasi dalam kawasan liputan tanpa memerlukan pengguna memuat turun aplikasi atau mendaftar nombor telefon.