
TEHRAN, 28 April – Iran menyatakan bahawa Amerika Syarikat (AS) tidak berhak untuk “menentukan” apa yang negara lain harus lakukan, ketika Washington mempertimbangkan cadangan baharu dari Tehran untuk membuka semula Selat Hormuz.
- AS tidak lagi berhak menentukan dasar negara berdaulat; pentadbirannya mesti meninggalkan tuntutan haram dan tidak rasional.
- Iran secara efektif menutup Selat Hormuz sejak awal perang, menggoncang pasaran tenaga global.
- Gencatan senjata menghentikan pertempuran, namun rundingan penyelesaian muktamad masih belum berhasil.
- Iran sedia berkongsi keupayaan ketenteraan pertahanan dengan negara lain, khususnya anggota SCO.
Iran secara efektif telah menutup laluan perairan strategik itu sejak awal perang dengan AS dan Israel yang menggegarkan pasaran tenaga global serta meletakkan selat tersebut di tengah rundingan untuk menamatkan konflik.
“AS tidak lagi berada pada kedudukan untuk menentukan dasarnya kepada negara-negara berdaulat,” kata jurucakap kementerian pertahanan, Reza Talaei-Nik di stesen televisyen negara sambil menegaskan bahawa Washington akan “menerima hakikat bahawa pentadbirannya mesti meninggalkan tuntutan haram dan tidak rasionalnya.”
Walaupun gencatan senjata telah menghentikan pertempuran antara Iran, AS dan Israel, rundingan untuk mencapai penyelesaian muktamad konflik itu masih belum membuahkan hasil.
Cadangan yang sedang dipertimbangkan di Washington dilaporkan bakal membuka semula Selat Hormuz iaitu laluan penting bagi penghantaran minyak dan gas global sementara rundingan lebih luas mengenai perang itu diteruskan.
Talaei-Nik yang bercakap menjelang mesyuarat menteri pertahanan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) turut memaklumkan bahawa Iran juga “bersedia untuk berkongsi keupayaan ketenteraan pertahanannya dengan negara-negara lain khususnya negara anggota” SCO. – AFP