
KUALA LUMPUR, 28 April– Pembangunan Garis Panduan Keselamatan Kecerdasan Buatan (AI) kini berada pada fasa akhir dan dijangka akan dilancarkan pada Julai ini.
- Garis panduan menjadi mekanisme penting membendung ancaman penipuan dalam talian berasaskan AI.
- Garis panduan akan digunapakai oleh agensi kerajaan, organisasi serta mana-mana pihak yang menggunakan teknologi AI.
- Garis panduan fokus pada penggunaan dan pendidikan; tekankan elak input data sensitif dan sahihkan hasil AI sebelum diterima.
Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata ia bakal menjadi inisiatif penting bagi mendepani risiko teknologi AI yang semakin kompleks.
Ini sekali gus menjadi mekanisme penting dalam membendung ancaman penipuan dalam talian yang berasaskan AI.
Garis panduan tersebut bakal digunapakai kepada agensi kerajaan, organisasi serta mana-mana pihak yang menggunakan teknologi AI sebagai piawaian dalam memperkukuh aspek keselamatan.
“Selain itu, kami juga mula bekerjasama dengan beberapa syarikat untuk mengguna pakai alat-alat berkaitan bagi mengenal pasti sama ada sesuatu kandungan dijana oleh AI atau tidak.”
“Sebagai contoh, Google mempunyai satu penyelesaian untuk mengenal pasti sama ada video atau imej dihasilkan melalui AI. Itu merupakan salah satu inisiatif yang kita laksanakan bersama pihak swasta menerusi garis panduan ini,” kata Ir. Dr. Megat kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Dialog Keselamatan Dalam Talian Asia Pasifik (APAC) Google 2026 di ibu negara.
Mengulas lanjut, pembangunan garis panduan tersebut telah melalui pelbagai peringkat termasuk kajian dan tinjauan bersama agensi berkaitan.
“Garis panduan berkenaan merangkumi dua aspek utama iaitu penggunaan dan pendidikan. Dari segi penggunaan, ia menekankan keperluan memastikan data yang dimasukkan ke dalam platform AI tidak melibatkan maklumat sensitif.”
“Selain itu, aspek keselamatan turut diberi perhatian bagi memastikan hasil yang diperoleh daripada AI adalah sahih dan tidak diterima bulat-bulat tanpa penilaian,” tambahnya.