
IPOH, 28 April – Kerajaan terus memperkukuh ekosistem syarikat pemula negara menerusi pelancaran program pembiayaan baharu bernilai RM10 juta.
- Inisiatif nasional bersepadu untuk memperkukuh rantaian pembangunan syarikat pemula dan keterhubungan ekosistem melalui platform MYStartup Single Window.
- Program khusus bantu syarikat yang telah melepasi peringkat seed tetapi belum capai Siri A, merapatkan jurang pembiayaan.
- Pendekatan berasaskan ekuiti: Cradle memilih syarikat berpotensi untuk dibiayai sambil mengambil pegangan ekuiti.
- Sasaran pembiayaan Pra-A hingga Siri A, pembiayaan antara RM500,000 hingga RM2 juta; tingkat kesiapsiagaan pelabur dan percepat akses susulan.
Program dikenali sebagai Cradle Startup Accelerator Programme 2026 itu dilancarkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang sempena Cradle LIVE! Roadshow Perak 2026 di sini.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan merupakan usaha nasional bersepadu bagi memperkukuh rantaian pembangunan syarikat pemula, meningkatkan keterhubungan ekosistem serta memperluas akses sokongan menerusi platform MYStartup Single Window.
Chang berkata, program itu diwujudkan bagi membantu syarikat pemula yang telah melepasi peringkat pembiayaan awal (seed) namun masih belum mencapai tahap Siri A.
“Menerusi pendekatan berasaskan ekuiti, Cradle akan memilih syarikat berpotensi untuk dibiayai sambil mengambil pegangan ekuiti dalam syarikat berkenaan.
“Cradle Elevate ini untuk membantu startup yang mungkin sudah melepasi peringkat seed tetapi belum sampai ke Siri A. Program ini bertujuan merapatkan jurang pembiayaan dan ia bukan geran, sebaliknya pelaburan ekuiti,” katanya.
Tambah beliau, syarikat pemula berpotensi menerima pembiayaan antara RM500,000 hingga RM2 juta bagi peringkat Pra-A hingga Siri A.
Inisiatif itu juga bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan pelabur, mengurangkan risiko pelaburan awal serta mempercepat akses kepada pembiayaan susulan.
Menurutnya, melalui Cradle Elevate, kerajaan menyasarkan untuk merapatkan jurang kritikal dalam landskap pembiayaan peringkat awal negara atau ‘missing middle’, melibatkan syarikat pemula yang telah membuktikan penyelesaian mereka tetapi belum bersedia untuk pusingan pembiayaan swasta berskala besar.