
KUALA LUMPUR, 28 April – Semangat kenegaraan dan perpaduan rakyat menjadi benteng utama negara mendepani pelbagai cabaran khususnya, ketidaktentuan ekonomi global.
- Rakyat digesa menyokong usaha kerajaan demi memastikan kestabilan dan kesejahteraan negara menghadapi cabaran global.
- AKM berperanan memperkukuh semangat patriotisme serta menyatukan rakyat untuk menghadapi cabaran semasa.
- Cadangan memasukkan Perjanjian Malaysia 1963 ke dalam modul AKM bagi mempertingkat kefahaman sejarah dan tanggungjawab bersama.
Suasana dunia yang kian mencabar kini menuntut rakyat agar bersama-sama mendukung usaha kerajaan demi kestabilan dan kesejahteraan negara.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Ts. Mustapha Sakmud, peranan institusi seperti Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dilihat penting dalam memperkukuh semangat patriotisme serta menyatukan rakyat bagi mendepani cabaran semasa.
“AKM ni penting satu dalam membina negara. Yang kedua menaikkan semangat kenegaraan dan inilah bila berlaku krisis global ini peranan AKM lagi penting untuk kita rangkul semua rakyat Malaysia ni untuk mendukung pihak kerajaan dalam kita cuba menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan rakyat,” katanya selepas merasmikan Pejabat Agensi Kenegaraan Malaysia Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Datuk Mustapha yang juga Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara turut memaklumkan cadangan memasukkan Perjanjian Malaysia 1963 ke dalam Modul Akademi Kenegaraan Malaysia kini sedang diperhalusi sebelum dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Jelasnya, usaha itu mampu memperkukuh kefahaman rakyat terhadap sejarah pembentukan negara serta tanggungjawab bersama dalam membina Malaysia yang lebih maju.