
KEMAMAN, 28 April – Belum ada ketetapan dibuat berhubung penambahan kuota subsidi petrol dan diesel melebihi had maksimum 50 liter sehari bagi nelayan berkelayakan di negara ini.
- Kuota subsidi sedia ada dikekalkan kerana mencukupi bagi operasi harian kebanyakan nelayan dengan bot dan enjin standard.
- Subsidi petrol dan diesel bertujuan meringankan beban kos nelayan, bukan menanggung keseluruhan kos operasi.
- Lesen Sampan Khas diberi kepada nelayan aktif yang turun sekurang-kurangnya 120 hari setahun; kegagalan patuh boleh menyebabkan penarikan balik.
- LKIM menggesa persatuan nelayan memberi tumpuan kepada aktiviti ekonomi berfokus dan konsisten supaya ahli menikmati manfaat peruntukan kerajaan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, kuota sedia ada masih dikekalkan kerana didapati mencukupi untuk menampung operasi harian kebanyakan nelayan, khususnya bagi penggunaan bot dan enjin standard.
“Subsidi petrol dan diesel bertujuan meringankan beban kos nelayan ketika turun ke laut menangkap ikan, bukannya menanggung keseluruhan kos operasi.
“Kuota 50 liter sehari ini berdasarkan kapasiti biasa bot atau enjin standard dan didapati mencukupi untuk kebanyakan operasi harian nelayan. Jika ada keperluan melebihi jumlah itu, lebihan kos perlu ditanggung sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jualan Agro MADANI dan Sesi Libat Urus Bersama Penerima Lesen Sampan Khas (LSK) di Kijal, hari ini.
Pada majlis itu, Muhammad Faiz turut menyampaikan bakul makanan kepada 71 pemegang LSK daripada Persatuan Nelayan Kawasan daerah Kemaman.
Beliau berkata, selain subsidi bahan api, kebanyakan nelayan turut menerima elaun sara hidup serta insentif pendaratan ikan bagi menggalakkan peningkatan produktiviti sektor perikanan.
Menurutnya, sebanyak 436 LSK dikeluarkan kepada nelayan pantai di Terengganu tahun ini, menjadikan keseluruhan 1,036 lesen dikeluarkan di negeri itu sejak 2021.
Bagaimanapun, katanya, lesen hanya diberikan kepada nelayan aktif yang memenuhi syarat termasuk turun ke laut sekurang-kurangnya 120 hari setahun bagi melayakkan mereka menerima subsidi dan insentif kerajaan.
“Jika syarat tidak dipatuhi, LKIM boleh menarik balik lesen berkenaan dan bantuan kerajaan tidak akan diteruskan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menggesa semua Persatuan Nelayan Kawasan di seluruh negara supaya memberi tumpuan kepada aktiviti ekonomi secara lebih berfokus dan konsisten bagi memastikan manfaat peruntukan kerajaan dapat dinikmati seluruh ahli.