
PUTRAJAYA, 28 April – Muamalat Islam terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh sistem ekonomi dan kewangan Islam negara berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan, keseimbangan serta pemeliharaan maslahat ummah.
- Muamalat Islam perlu adaptif kepada transformasi digital, merangkumi inovasi kewangan berasaskan teknologi.
- Penilaian Syariah harus lebih dinamik, responsif dan bersepadu untuk penyelarasan nasional serta mengekalkan kredibiliti sistem kewangan Islam.
- Syariah perlu difahami sebagai perlindungan, panduan dan jaminan kelestarian, bukan sebagai sekatan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli berkata, selari dengan era transformasi digital yang berkembang pesat, muamalat Islam kini tidak lagi terhad kepada transaksi konvensional, sebaliknya turut merangkumi pelbagai inovasi kewangan berasaskan teknologi.
“Malaysia sebagai antara peneraju global dalam ekonomi dan kewangan Islam telah berjaya membangunkan ekosistem muamalat yang komprehensif melibatkan perbankan Islam, takaful, pasaran modal Islam, zakat, wakaf serta pendanaan awam.
“Justeru, penilaian Syariah yang lebih dinamik, responsif dan bersepadu amat diperlukan bagi menjamin penyelarasan nasional yang jelas serta berautoriti, di samping memelihara keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti sistem kewangan Islam negara,” katanya.
Beliau menegaskan, naratif Syariah perlu difahami bukan sebagai sekatan, sebaliknya sebagai perlindungan, panduan dan jaminan kelestarian dalam sistem muamalat serta kewangan Islam.
“Kita perlu membina kefahaman bahawa Syariah bukan restriction, tetapi protection, direction dan sustainability dalam usaha memartabatkan Syariah dalam muamalat dan kewangan,” katanya lagi ketika merasmikan Program Muzakarah Muamalat Peringkat Kebangsaan 2026 di sini.
Seramai 200 peserta menghadiri program itu yang terdiri daripada ahli akademik dan penyelidik dalam bidang muamalat Islam, ekonomi Islam, perbankan, kewangan Islam dan Syariah, selain ahli Majlis Syariah, Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri serta penasihat Syariah institusi kewangan Islam dan takaful.
Muzakarah berkenaan antara lain bertujuan menghasilkan resolusi serta syor dasar muamalat Islam sebagai rujukan kerajaan dan agensi berkaitan, selain meningkatkan tahap literasi serta kefahaman masyarakat terhadap muamalat Islam.