
BAYAN LEPAS, 28 April– Malaysia menyasarkan seramai 10,000 pelajar akan melanjutkan pengajian ke Türkiye menjelang tahun 2030 menerusi pengukuhan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
- Fokus pada mobiliti pelajar dalam sektor berteknologi tinggi seperti aeroangkasa, AI dan teknologi pertahanan.
- Mengenal pasti universiti terbaik di Türkiye khususnya dalam bidang aeroangkasa dan teknologi pertahanan.
- Menjamin kesinambungan misi diplomasi intelektual untuk menghasilkan graduan berkemahiran dalam bidang kritikal masa hadapan.
- Menawarkan peluang biasiswa penuh melalui Türkiye Burslari dan inisiatif biasiswa wakaf; libatkan MARA, UniKL dan SBP.
Kerjasama itu memberi tumpuan khusus kepada mobiliti pelajar dalam sektor berteknologi tinggi seperti aeroangkasa, Kecerdasan Buatan (AI), dan teknologi pertahanan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menyifatkan Turkiye sebagai destinasi strategik, mengambil kira kemajuan pesat dalam penghasilan produk teknologi tinggi yang memacu pasaran dunia.
Usaha proaktif itu sekali gus memperlihatkan kesinambungan misi diplomasi intelektual kementerian, bagi memastikan graduan Malaysia memiliki kepakaran dalam bidang kritikal masa hadapan.
“Kita menyambut baik persefahaman ini dan berharap lebih ramai pelajar dapat dihantar ke Türkiye menerusi biasiswa yang disediakan kerajaan mereka.”
“Hasil perbincangan hari ini, kita akan mengenal pasti universiti terbaik di sana, khususnya dalam bidang aeroangkasa dan teknologi pertahanan, memandangkan Türkiye mempunyai institusi pendidikan yang sangat maju dalam sektor berkenaan,” kata Datuk Seri Dr. Zambry kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Malaysia Dan Republik Türkiye, di sini.
Selain mobiliti pelajar, kerjasama tersebut turut menawarkan peluang biasiswa penuh melalui program Türkiye Burslari serta inisiatif biasiswa wakaf.
Inisiatif berkenaan mendapat sokongan padu bagi melibatkan penyertaan pelajar daripada institusi MARA, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).