
PUTRAJAYA, 28 April- Kerajaan komited memastikan projek pembangunan rakyat tidak terbengkalai dengan menyusun langkah intervensi secara berfasa tanpa menjejaskan disiplin fiskal negara susulan tekanan kos akibat krisis bekalan global.
- Kerajaan dan industri akan memperincikan intervensi berfasa untuk menampung implikasi kos projek pembangunan rakyat.
- Kenaikan harga tujuh bahan binaan sekitar 12.59 peratus menjejaskan kos projek, aliran tunai kontraktor dan kelancaran pelaksanaan tapak.
- Kerajaan akan memperkukuh perlindungan sosial, meningkatkan latihan dan penempatan pekerjaan serta menyokong pekerja dan majikan menghadapi impak pasaran buruh.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata komitmen itu penting bagi mengelakkan beban lebih besar sekiranya projek gagal dilaksanakan mengikut perancangan.
“Perkara ini akan diperincikan secara bersama antara pihak kerajaan dan industri untuk menampung implikasi kos yang berlaku,” katanya dalam Taklimat Harian Krisis Tenaga Global di sini hari ini.
Beliau berkata sektor pembinaan kini berdepan tekanan kos yang ketara dengan purata kenaikan harga tujuh bahan utama direkodkan sekitar 12.59 peratus.
“Ini bermakna sebarang kenaikan harga bahan binaan boleh memberi kesan langsung kepada kos projek, aliran tunai kontraktor dan kelancaran pelaksanaan projek di tapak,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan memandang serius keadaan itu memandangkan projek pembangunan melibatkan keperluan asas rakyat termasuk jalan, sekolah, klinik dan infrastruktur awam.
Mengulas lanjut, beliau berkata kesan sebenar krisis bekalan global terhadap pasaran buruh dijangka lebih ketara pada suku kedua tahun ini berikutan faktor kesan tertunda.
“Impak terhadap pasaran buruh dijangka lebih ketara pada suku kedua 2026, khususnya akibat kesan tertunda krisis bekalan global,” katanya.
Beliau berkata walaupun jumlah kehilangan pekerjaan menunjukkan trend menurun pada April, kerajaan akan terus memperkukuh perlindungan sosial, meningkatkan latihan serta penempatan pekerjaan, selain menyokong pekerja dan majikan bagi menghadapi cabaran mendatang.