600 murid SK Hj Mohamad Arif laksana PdPR, akibat kesan ribut di Kedah

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abd Rahim Mat/BERNAMA

PENDANG, 28 April– Seramai 600 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Hj Mohamad Arif di daerah Pendang terpaksa mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula hari ini sehingga Khamis depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekolah terjejas akibat ribut dan hujan lebat, menyebabkan kerosakan infrastruktur serius.
  • PdPR dilaksanakan bagi murid prasekolah serta Tahun 1 hingga Tahun 3 kerana bangunan kelas tidak selamat digunakan.
  • Pelaksanaan PdPR bersifat sementara tetapi mungkin disambung jika kerosakan berlanjutan demi keselamatan murid.
  • Sebanyak 11 sekolah dikenal pasti terjejas; penilaian dan usaha pemulihan oleh JPN dan PPD sedang giat dijalankan.

Langkah tersebut diambil susulan kerosakan infrastruktur serius yang dialami sekolah berkenaan akibat kejadian ribut dan hujan lebat, petang Isnin (27 April).

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abd Rahim Mat menjelaskan pelaksanaan PdPR itu melibatkan murid prasekolah serta Tahun 1 hingga Tahun 3 bagi memastikan keselamatan mereka terjamin memandangkan bangunan kelas tidak selamat untuk digunakan.

“Berdasarkan laporan yang diterima, sebuah sekolah iaitu SK Hj Mohamad Arif terpaksa melaksanakan PdPR kerana bangunan kelas terjejas teruk dan tidak dapat digunakan.”

“Pendidikan dari rumah diberikan buat sementara waktu, namun keadaan ini akan dinilai dari semasa ke semasa. Jika kerosakan berlanjutan, tempoh PdPR mungkin akan disambung kerana keselamatan anak-anak sentiasa menjadi keutamaan kami,” kata Abdul Rahim kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Akademi Sains Pendang bagi meninjau keadaan sekolah berkenaan, di sini.

Mengulas mengenai situasi keseluruhan di negeri itu, beliau memaklumkan sebanyak 11 sekolah dikenal pasti terjejas akibat bencana tersebut.

Daerah Pendang mencatatkan jumlah tertinggi dengan enam sekolah, diikuti empat sekolah di daerah Bandar Baharu dan satu sekolah di daerah Kota Setar.

Antara sekolah yang terjejas di Pendang ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Hj Mohamad Arif, SK Paya Mengkuang, SK Paya Mak Insun, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Puteh Dalam, Akademi Sains Pendang dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang.

Bagi daerah Bandar Baharu, sekolah yang terlibat ialah SK Dato Hj Zainudin, SMK Serdang, SMK Lubuk Buntar dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ganesar, manakala di Kota Setar melibatkan SK Kangkong.

Pihak JPN bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) kini sedang giat menjalankan penilaian kerosakan dan usaha pemulihan bagi memastikan sesi persekolahan secara bersemuka dapat disambung semula dengan segera.