
SAUDARA PENGARANG
- Menepis stigma: Politeknik dan UiTM bukan pilihan kedua, sebaliknya pelantar strategik untuk kebolehpasaran dan kemahiran masa depan.
- Politeknik menawarkan latihan praktikal intensif 60 hingga 70 peratus, melahirkan graduan sedia kerja dengan kemahiran automasi, robotik dan AI.
- UiTM diiktiraf antarabangsa, menyediakan program berkualiti dan jaringan alumni luas yang mempercepat peluang latihan industri dan penempatan kerjaya.
- Strategi nasional diperlukan: ubah minda ibu bapa, kukuhkan kaunseling sekolah dan galakkan media tonjolkan kejayaan TVET serta UiTM.
Setiap kali keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diumumkan, suasana pascapeperiksaan pastinya diselubungi dengan pelbagai naratif kejayaan.
Media sosial dipenuhi dengan perkongsian slip keputusan cemerlang, manakala institusi pengajian tinggi mula membuka pintu seluas-luasnya.
Bagaimanapun, di sebalik keghairahan memburu tempat di universiti penyelidikan terkemuka, wujud satu trend yang membimbangkan dalam kalangan lepasan sekolah.
Masih ada yang kurang kesedaran dan kecenderungan memandang rendah terhadap peluang pengajian di Politeknik serta Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Kedua-dua institusi ini sering kali tersisih daripada senarai keutamaan, malah diletakkan sebagai pelan sandaran atau ‘pilihan kedua’ sekiranya gagal menempatkan diri di universiti arus perdana yang lain.
Persepsi lapuk ini bukan sahaja merugikan potensi individu pelajar, malah berisiko memperlahankan agenda nasional dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang kalis masa depan.
Membedah Akar Umbi Sindrom ‘Menara Gading’ Tradisional
Mengapakah Politeknik dan UiTM berhadapan dengan cabaran persepsi dalam kalangan generasi muda hari ini?
Jawapannya berakar umbi daripada acuan minda masyarakat yang masih mengagungkan kecemerlangan akademik konvensional berorientasikan teori semata-mata.
Pertama, faktor prestij nama institusi memainkan peranan besar. Sejadah sekian lama, status sosial seseorang pelajar sering dinilai berdasarkan nama universiti elit yang berjaya dilonjaknya.
Ibu bapa dan rakan sebaya tanpa sedar mewujudkan satu tekanan psikologi yang mengecilkan skop kejayaan di luar daripada acuan tradisional tersebut.
Kedua, terdapat salah faham yang menebal terhadap sistem TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) yang diterajui oleh Politeknik.
Ia sering disalahertikan sebagai laluan ‘kelas kedua’ untuk pelajar yang kurang cemerlang dalam subjek akademik teras.
Hakikatnya, landskap TVET global hari ini telah berubah sepenuhnya menjadi pemacu utama kepada industri moden dan berteknologi tinggi.
Ketiga, kapasiti besar UiTM kadang kala disalah tafsir sebagai lambang kelonggaran standard kualiti. Disebabkan misinya yang memfokuskan kepada pendemokrasian pendidikan dan pemerkasaan Bumiputera, wujud naratif dangkal bahawa kelulusan UiTM ‘mudah diperoleh’ dan kurang berdaya saing.
Ini adalah satu mitos berbahaya yang perlu diperbetulkan segera dengan bersandarkan realiti semasa.
Realiti Politeknik: Hab Kemahiran Dinamik dan Kebolehpasaran Premium
Apabila meneliti trend industri pascapandemik, pandangan serong terhadap Politeknik jelas sekali bertentangan dengan realiti pasaran kerja memandangkan kebolehan fizikal dan kemahiran taktikal kini menjadi mata wang baharu yang paling diburu oleh majikan.
Realitinya, data rasmi daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) secara konsisten menunjukkan kadar kebolehpasaran (employability) graduan Politeknik di Malaysia berada pada tahap yang sangat membanggakan.
Graduan Politeknik sering kali melebihi 95 peratus, sekali gus mengatasi sesetengah universiti konvensional.
Hal ini membuktikan bahawa majikan hari ini tidak lagi sekadar membeli jenama skrol, sebaliknya memburu bakat yang ‘sedia kerja’ (industry-ready).
Faktor utama kejayaan ini didorong oleh kurikulumnya yang menerapkan formula 60 peratus hingga 70 peratus latihan praktikal di makmal dan bengkel, berbeza dengan kaedah pembelajaran tradisional yang sarat dengan teori di dewan kuliah.
Melalui pendekatan ini, pelajar didedahkan secara langsung kepada instrumen industri sebenar seperti sistem automasi, robotik, kecerdasan buatan (AI), dan kejuruteraan pesawat, yang akhirnya melahirkan graduan kompeten tanpa memerlukan tempoh latihan semula yang panjang sebaik sahaja menapak ke alam pekerjaan.
Realiti UiTM: Raksasa Pendidikan Berprestasi Tinggi dan Diiktiraf Global
Memandang rendah terhadap UiTM merupakan penanda kurangnya maklumat komprehensif mengenai pencapaian institusi mega ini kerana sebagai universiti terbesar di Malaysia, ia telah terbukti melahirkan ratusan ribu profesional yang kini menggerakkan roda ekonomi negara.
Bukannya sekadar kilang melahirkan graduan, UiTM bertindak sebagai hab kecemerlangan akademik yang diiktiraf dunia menerusi akreditasi antarabangsa.
Misalnya Fakulti Perakaunan yang menjadi antara pengeluar bakat perakaunan profesional (ACCA dan CIMA) terbesar dan terbaik di rantau Asia Tenggara, di samping bidang kejuruteraan, seni bina, undang-undang, serta komunikasi massa yang sentiasa memenuhi standard ketat badan penilaian global.
Selain kecemerlangan akademik, kelebihan utama bergelar graduan UiTM adalah akses kepada jaringan alumni terbesar di Malaysia yang merangkumi tokoh-tokoh penting seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pengarah syarikat gergasi, mahupun pakar teknologi terkemuka.
Kewujudan rangkaian alumni yang kukuh di pelbagai sektor korporat dan kerajaan ini secara tidak langsung memberikan kelebihan strategik kepada graduan baharu, terutamanya dalam membuka peluang latihan industri (internship) serta penempatan kerjaya dengan lebih pantas.
Strategi Nasional: Mengubah Persepsi Demi Masa Depan Negara
Bagi menepis stigma ini daripada terus membelenggu minda lepasan SPM dan STPM, satu usaha yang agresif dan bersepadu mesti digerakkan di semua peringkat.
Ia bermula dengan anjakan paradigma ibu bapa yang perlu keluar daripada kepompong pemikiran konvensional yang mengehadkan takrifan kejayaan anak-anak kepada kerjaya tradisional seperti doktor atau peguam sahaja.
Sokongan moral terhadap minat anak-anak dalam bidang teknikal, kemahiran, dan vokasional di Politeknik harus diberikan secara terbuka dan bangga.
Manakala di peringkat sekolah pula, pemerkasaan kaunseling kerjaya perlu dilaksanakan dengan membekalkan guru bimbingan maklumat serta data realistik terkini mengenai prospek pasaran kerja TVET serta kehebatan program kontemporari UiTM melalui program lawatan industri dan pendedahan awal.
Di samping itu, institusi media massa seperti RTM turut memainkan peranan kritikal dalam meruntuhkan dinding persepsi negatif ini.
Ia dengan mempamerkan kisah-kisah kejayaan (success stories) graduan, termasuk menonjolkan usahawan teknologi (technopreneur) muda mahu pun jurutera tempatan berpendapatan premium hasil didikan kedua-dua institusi tersebut.
Langkah itu membantu membina imej baharu yang lebih segar, dinamik, dan eksklusif.
Kesimpulan
Landskap ekonomi masa depan tidak lagi menjanjikan persekitaran yang selesa kepada mereka yang hanya bergantung kepada teori semata-mata.
Kebolehan untuk beradaptasi, menguasai kemahiran teknikal, dan memiliki ketahanan diri adalah kunci utama kelangsungan hidup dalam industri.
Politeknik dan UiTM bukanlah destinasi untuk mereka yang tercicir, sebaliknya kedua-duanya merupakan pelantar peluncuran (launchpad) strategik bagi mereka yang bijak merancang masa depan dengan berpijak di bumi nyata.
Sudah tiba masanya lepasan SPM dan STPM membuka mata, menepis segala bentuk prejudis, dan melihat peluang di kedua-dua institusi ini sebagai langkah pertama yang kukuh ke arah membina kerjaya yang cemerlang, mampan, dan dihormati.
Kejayaan sejati tidak lagi diukur pada nama gah universiti di atas skrol anda, tetapi pada nilai implikasi, kepakaran, dan bakat yang mampu anda sumbangkan kepada kemajuan negara.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Professor Madya Dr Mohd Shahnawi Muhmad Pirus
Komunikasi Antarapersonal (MC247)
Pusat Komunikasi dan Multimedia
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi MARA
E-mel: dr_shahnawi@uitm.edu.my