Dua kereta api bertembung, empat maut

Foto AFP

BEKASI, 28 April – Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera selepas dua kereta api bertembung di sini pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sausan Sarifah berkata tren berhenti di stesen Bekasi Timur untuk menurunkan penumpang, tetapi tiba-tiba berlaku dentuman kuat dan tiada masa untuk keluar.
  • Keadaan menjadi sesak dengan penumpang bertindih hingga Sausan rasa akan kehabisan nafas dan menganggap dirinya akan mati.
  • Beliau mengalami patah tangan dan kecederaan paha serta risau tentang mangsa lain yang dipercayai terperangkap lebih serius.
  • Datuk Bandar Tri Adhianto mengesahkan semua agensi digerakkan, operasi menyelamat diteruskan, dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Salah seorang mangsa yang terselamat, Sausan Sarifah, 29 tahun berkata, kejadian berlaku ketika salah sebuah tren berkenaan sedang berhenti di stesen Bekasi Timur untuk menurunkan penumpang.

“Sebenarnya sudah ada dua pengumuman daripada perkhidmatan komuter, tetapi mungkin orang ramai sudah mahu keluar. Tiba-tiba bunyi pelanggaran yang sangat kuat, jadi kami tidak sempat untuk keluar,” katanya.

Mengimbas detik cemas itu, beliau berkata keadaan menjadi sesak apabila penumpang bertindih antara satu sama lain.

“Saya fikir saya akan mati kerana orang ramai sudah bertindih dan saya rasa seperti akan kehabisan nafas. Tetapi syukur, saya selamat. Ia masih terasa seperti mimpi,” katanya.

Beliau yang mengalami patah tangan dan kecederaan pada paha turut meluahkan kebimbangan terhadap mangsa lain yang dipercayai terperangkap dalam keadaan lebih teruk.

Sementara itu, Datuk Bandar Bekasi Timur, Tri Adhianto berkata, semua agensi berkaitan telah digerakkan sebaik menerima laporan kejadian.

Operasi menyelamat masih diteruskan bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap, sementara punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa. – AFP