
NILAI, 25 April – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, membuktikan usia bukan penghalang apabila mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mengesahkan slot ke pentas akhir acara keirin lelaki pada Piala Dunia Berbasikal Trek UCI 2026, di sini hari ini.
- Walaupun berusia 38 tahun, Azizulhasni kekal berkelas tinggi menyaingi pelumba muda dengan kayuhan bertenaga.
- Menjuarai pusingan pertama dengan catatan masa 10.077 saat, memberi amaran awal kepada pesaing.
- Menjuarai separuh akhir dengan 9.812 saat; sandaran pingat emas kini digalas pemenang perak Olimpik Tokyo.
Meskipun mencecah usia 38 tahun dan terpaksa berdepan kelompok pelumba muda, atlet yang mendapat julukan The Pocket Rocketman itu tetap berada dalam kelas tersendiri sepanjang perlumbaan.
Beliau memulakan kempen dengan langkah meyakinkan apabila menjuarai pusingan pertama dengan catatan masa 10.077 saat, sekali gus memberi amaran awal kepada pencabar lain.
Momentum berkenaan diteruskan pada pusingan kedua apabila beliau menamatkan perlumbaan di tempat kedua, ketinggalan 0.209 saat di belakang juara Olimpik lima kali dari Belanda, Harrie Lavreysen, yang merakam masa 9.780 saat.
Memasuki aksi separuh akhir, Azizulhasni sekali lagi menunjukkan taringnya apabila melintasi garisan penamat di tempat pertama dengan catatan masa 9.812 saat untuk menempah slot ke peringkat akhir.
Saingan akhir dijadualkan berlangsung pada pukul 8.21 malam ini, dengan sandaran pingat emas kini digalas sepenuhnya oleh pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu.