Piala Uber: Low Zi Yu-Noraqilah selamatkan maruah negara

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 April – Gandingan beregu muda, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan muncul wira skuad wanita negara apabila menyumbang mata kemenangan untuk menewaskan Turkiye 3-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala Uber 2026, di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • K. Letshanaa memenangi perseorangan pertama, mengekalkan rekod bersih ke atas Neslihan Arin.
  • Wong Ling Ching tewas kepada Ozge Bayrak dalam perlawanan tiga set yang mengejutkan.
  • Goh Jin Wei menang straight set; keputusan itu memberi suntikan moral menjelang perlawanan menentang Afrika Selatan.

Terdahulu, pemain perseorangan utama, K. Letshanaa, menceriakan kem negara apabila menghadiahkan mata pertama selepas menumbangkan Neslihan Arin 21-16, 13-21, 21-13.

Kemenangan itu sekali gus mengekalkan rekod bersih Letshaa ke atas lawan tersebut.

Turkiye kemudian menyamakan kedudukan 1-1 selepas perseorangan kedua negara, Wong Ling Ching, dikejutkan oleh pemain ranking ke-78 dunia, Ozge Bayrak, dengan keputusan 17-21, 21-15, 18-21.

Goh Jin Wei, kembali meletakkan Malaysia di depan menerusi kemenangan straight set apabila menundukkan Zehra Erdem 21-14, 21-13 dalam tempoh 31 minit.

Walau bagaimanapun, hasrat Malaysia untuk mengesahkan kemenangan lebih awal tersekat apabila gandingan beregu utama, Ong Xin Yee-M. Thinaah, tewas kepada naib juara Eropah, Bengisu Ercetin-Nazlican Inci, 22-20, 19-21, 19-21 dalam pertarungan yang berlanjutan 1 jam 9 minit.

Ketika kedudukan terikat 2-2, beregu muda, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan, muncul wira negara apabila mempamerkan ketenangan luar biasa untuk menyumbang mata kemenangan selepas menewaskan gandingan Yasemen Bektas-Zehra Erdem 21-18, 21-19.

Kemenangan tersebut memberi suntikan moral buat skuad negara yang dijadualkan menentang Afrika Selatan dalam aksi kedua kumpulan, esok.