
KUALA LUMPUR, 25 April – Kebajikan serta masa depan atlet dan bekas atlet negara kini mendapat pembelaan menerusi penubuhan Reform in Sport & Excellence (RISE), sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang komited memperjuangkan ekosistem sukan lebih telus.
- RISE bertindak sebagai suara ketiga untuk membangkitkan isu dan membetulkan keputusan yang dianggap tidak telus.
- Memfokuskan kelangsungan hidup atlet selepas persaraan dan membantu menyediakan hala tuju masa depan melalui kerjasama dengan pihak berkaitan.
- Memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan ketelusan badan sukan supaya keputusan sentiasa mengutamakan kepentingan serta kebajikan atlet.
Jurucakapnya, Hamdi Jaafar berkata, RISE ditubuhkan bagi memberi fokus kepada sokongan kepada atlet, termasuk membantu menyediakan hala tuju masa depan kepada atlet yang sering kali terabai selepas bersara.
“Kita mahu bertindak sebagai suara ketiga bagi setiap organisasi sukan yang berdepan masalah. Sekiranya kita mengesan sebarang isu, RISE akan bersuara untuk memperbetulkan keadaan, termasuk melibatkan keputusan yang dilihat tidak telus.
“Selain itu, fokus kami adalah terhadap kelangsungan hidup atlet selepas persaraan. Apa sahaja bentuk bantuan yang diperlukan, kami akan bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk memastikan mereka tidak ketinggalan,” katanya demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Reform in Sport & Excellence (RISE) di sini, hari ini.
Jelas Hamdi yang juga bekas pelari berpagar kebangsaan, pertubuhan itu juga bermatlamat untuk memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan tahap ketelusan dalam badan sukan kebangsaan. Langkah tersebut penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat oleh pemegang taruh sentiasa berpaksikan kepada kepentingan dan kebajikan atlet sebagai tunjang utama sukan negara.